Bung Ada Kelebihan di DUN Lamaq

bung-2.jpg
Kongsi Bersama

BERDEPAN persaingan lima penjuru, itu cabaran dihadapi Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin di kerusi DUN Lamag selepas selesai hari penamaan calon, Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 (PRN16), semalam.

Empat lawan Bung Moktar ialah dari Parti Warisan Sabah (Warisan) diwakili Ketua Bahagian Kinabatangan, Mohd Ismail Ayob; Parti Cinta Sabah (PCS) yang diwakili Ketua Pemuda Kinabatangan, Razman Mayah; Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Sairin Abd Rahman dan seorang calon Bebas, Junny@Karuak Abdullah.

Memandangkan Lamag adalah kerusi baharu, iaitu satu daripada 13 kerusi tambahan DUN Sabah yang diluluskan Dewan Rakyat pada tahun lalu, tiada perbandingan dapat dibuat mengenai pencapaian setiap calon.

Secara mudahnya, peluang kelima-lima calon untuk memenangi kerusi DUN Lamag adalah sama rata atau seimbang, terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing untuk berkempen menawan hati rakyat kawasan itu.

DUN Lamag mempunyai seramai 8,159 pemilih berdaftar dengan majoritinya adalah pengundi Bumiputera Islam, kebanyakannya masyarakat Sungai dan ia adalah satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Kinabatangan.

Namun, Bung Moktar pastinya lebih dikenali dan memiliki kelebihan tersendiri untuk menarik sokongan rakyat di Lamag kerana beliau juga adalah Ahli Parlimen Kinabatangan yang menyandang kerusi itu selama beberapa penggal.

Siapa tidak mengenali Bung Moktar, bukan saja penduduk di Kinabatangan, malah kelantangannya bersuara di Parlimen menyebabkan namanya cukup dikenali di seluruh negara.

Jika ada yang mempertikaikan usaha yang beliau lakukan untuk membela rakyat Kinabatangan, mungkin mereka tidak tahu bagaimana beliau berdebat di Dewan Rakyat untuk menggesa kerajaan memberi perhatian di kawasannya.

Beliau sering membandingkan Kinabatangan sebesar negeri Pahang, kawasan yang cukup luas dan sepatutnya diberikan perhatian yang lebih agar rakyat di seluruh kawasan itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Jika beliau mendapat kepercayaan rakyat di Lamag, bermakna usahanya untuk membela rakyat di Kinabatangan bukan saja dapat dilakukan di Parlimen, malah pada masa yang sama beliau juga boleh menyuarakannya di DUN Sabah.

Lebih penting, rakyat Lamag harus tahu bahawa Bung Moktar juga adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan mengetuai jentera PRN kali ini yang bermakna beliau juga boleh menjadi calon Ketua Menteri jika gandingan BN dan Perikatan Nasional (PN) menang.

Jadi, inilah masanya rakyat Kinabatangan, khususnya di DUN Lamag untuk memastikan kemenangan Bung Moktar pada hari pengundian 26 September ini kerana mungkin selepas ini Ketua Menteri Sabah datang dari DUN Lamag, Kinabatangan.

Di pihak lawan, isu bersifat peribadi mungkin dijadikan senjata mereka untuk memburukkan Bung Moktar, namun rakyat di Kinabatangan, khususnya di DUN Lamag pasti lebih memahami situasi yang sebenar.

Memang Bung Moktar masih berdepan dengan kes mahkamah dan ia juga antara sebab ada yang tidak bersetuju beliau dilantik sebagai pengarah jentera pilihan raya BN pada PRN kali ini.

Namun, kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh pucuk pimpinan BN dan UMNO membuktikan kepemimpinan Bung Moktar sangat diperlukan dalam membawa cabaran BN untuk menumpaskan kerajaan Warisan Plus yang memimpin Sabah selama kira-kira dua tahun.

Bung Moktar juga sering menegaskan beliau lebih mengutamakan tugas mengukuhkan parti dan menarik sokongan rakyat tanpa terganggu dengan tohmahan dan apa saja tanggapan pelbagai pihak terhadapnya.

Rakyat di Kinabatangan, khususnya di DUN Lamag seharusnya melihat kesungguhannya itu sebagai bukti yang Bung Moktar sayangkan rakyat Lamag dan Sabah keseluruhannya sehingga sanggup membiarkan diri ditohmah dan dicaci dari segenap sudut.-Buletin Sabah

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top