‘Bukan setakat 25 kerusi DUN, 35 pun boleh’ – Ahli MPN PKR Sabah

Sazalye-Donol-Abdullah-.jpg

Sazalye Donol Abdullah (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah boleh bertanding sehingga 35 kerusi, bukan setakat 25 kerusi seperti dinyatakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam, sebelum ini.

BHarian dalam laporannya semalam memetik Ahli MPN Sabah, Sazalye Donol Abdullah sebagai berkata secara peribadi beliau mahu PKR Sabah bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Sangkar kelmarin mengenai hasrat PKR Sabah untuk bertanding di 25 daripada 73 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Menurut Sazalye jumlah 25 kerusi DUN yang dinyatakan Sangkar itu adalah pandangan peribadi dan bukan keputusan rasmi PKR Sabah.

“Bukan setakat 25 kerusi tetapi bagi pandangan peribadi saya, 35 kerusi pun PKR boleh bertanding pada PRN Sabah akan datang,” katanya, yang juga Ketua Cabang PKR Kota Marudu .

Beliau dilaporkan berkata demikian pada sidang media, di sini, semalam.

Sangkar dilaporkan berkata jumlah kerusi DUN itu merangkumi semua 25 kawasan Parlimen yang diputuskan dalam siri mesyuarat jelajah PKR di seluruh Sabah.

Katanya, perkara itu akan disampaikan kepada Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibincangkan dalam Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Sazalye berkata, setakat ini belum ada keputusan mengenai jumlah sebenar kerusi yang mahu ditandingi parti itu pada PRN akan datang, namun mengakui mereka juga mahukan jumlah kerusi yang banyak.

“Sebenarnya kita belum ada keputusan mengenai berapa jumlah kerusi kerana kita belum bermesyuarat lagi berhubung perkara itu, tidak seperti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang sudah menjelaskan mahu bertanding banyak kerusi.

“Bagaimanapun, kita memang mahu bertanding banyak kerusi kerana tidak salah untuk meminta tetapi akhirnya nanti kita terpaksa akur juga keputusan kepemimpinan tertinggi parti dan Perdana Menteri selaku Presiden PKR,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top