Bukan Saya Pilih Azam Baki, KSN Yang Cadangkannya, Kata Muhyiddin

tsmy.jpg
Kongsi Bersama

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau memilih Tan Sri Azam Baki untuk dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Sebaliknya beliau berkata Ketua Setiausaha Negara yang mencadangkan pelantikan Azam itu.

Beliau juga menjelaskan, pelantikan Azam telah melalui prosedur yang ditetapkan untuk mana-mana jawatan dalam kerajaan.

“Ya, dia dilantik waktu saya (Perdana Menteri) bila berlaku kekosongan bekas pesuruhjaya yang dahulu berhenti maka perlu ada pengganti.

“Pelantikan itu diperakukan oleh sebuah jawatankuasa. Ketua Setiausaha Negara mencadangkan nama, bukan saya pilih, KSN cadangkan kerana fikir dia layak,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Kenyataannya itu susulan Bekas Ketua Setiausaha Sulitnya Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, beliau percaya pelantikan Azam itu mengikut peraturan dan kaedah ditetapkan, termasuk tapisan keselamatan dan pengisytiharan harta.

Muhyiddin dan Marzuki mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman pada Ahad yang mempersoalkan sama ada bekas Perdana Menteri itu memeriksa latar belakang Azam sebelum memberi nasihat berkenaan pelantikannya kepada Agong.

Azalina membuat kenyataan itu berikutan kontroversi yang melanda Azam berhubung pemilikan saham, selepas beliau mengaku adiknya Nasir telah menggunakan akaun perdagangan miliknya untuk membeli lebih dua juta saham dan waran dua syarikat pada 2015 dan 2016.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang telah membersihkan Azam daripada sebarang salah laku, namun anggota panel LPPR yang lain kemudian mendakwa pendirian tersebut hanyalah pandangan peribadi Abu Zahar. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top