Bukan sahaja Shahelmey, GRS sedia terima individu sokong aspirasi yang sama

Nizam-Shahelmey.jpg

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia menerima kemasukan pemimpin politik dari parti lain yang mempunyai aspirasi yang sama dengan kabungan itu termasuk Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya (gambar, kanan).

Walau bagaimanapun, menurut Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (gambar, kiri), sama ada individu yang diterima masuk itu nanti akan dicalonkan mewakili GRS dalam pilihan raya negeri (PRN), terserah kepada pimpinan untuk memutuskannya.

“GRS terima sesiapa sahaja pemimpin atau individu (bukan hanya Shahelmey) mahu berkongsi aspirasi sama dengan perjuangan kami di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor,” kata Adun Apas itu sebagaimana dilaporkan oleh FMT.

Shahelmey dari dari Umno memenangi kerusi DUN Tanjung Keramat dan parlimen Putatan atas tiket Barisan Nasional (BN). Beliau bagaimanapun menyokong pentadbiran Hajiji, bertentangan dengan keputusan Umno Sabah menarik sokongan terhadap ketua menteri itu.

Jumaat lalu Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Umno Sabah tidak akan memilih atau menyokong mana-mana pemimpin yang telah ‘mengkhianati’ parti untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Kenyataan itu memperlihatkan Shahelmey hampir pasti tidak akan dicalonkan semula oleh UMNO untuk mempertahankan DUN Tanjung Keramat pada PRN akan datang.

Oktober tahun lalu, Bung Moktar mengumumkan Ketua Umno Putatan Jeffrey Nor Mohamed sebagai calon BN di kerusi Tanjung Keramat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top