Bukan Emas Tetapi Pirit!

emas-pitas.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dakwaan yang mengatakan kononnya emas ditemui di Pitas kini terjawab selepas ia sebenarnya terbukti batuan pirit atau dikenali sebagai ’emas palsu’.

Pemangku Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah Webster Wong Vui Ching telah mengesahkan bahawa mineral yang menyerupai emas yang ditemui di atas bukit di Pitas sebenarnya adalah pirit, mineral besi sulfida dengan kilauan seperti logam.

Wong berkata sepasukan pegawai dari jabatan itu pergi ke tapak yang didakwa itu kelmarin bagi mengambil sampel untuk diperiksa.

“Pegawai kami tidak menemui sebarang emas tetapi hanya pirit,” katanya kepada FMT.

Wong berkata, JMG akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu tidak lama lagi.

Katanya, beberapa individu juga telah datang ke pejabat JMG di sini sebelum ini dengan membawa batu yang diselaputi warna keemasan.

“Ia sama sahaja kerana batu-batu itu adalah pirit, tetapi pada masa itu, WhatsApp dan Facebook tidak digunakan meluas seperti hari ini jadi kes-kes itu tidak tular tidak seperti sekarang apabila ada media sosial,” katanya.

Warganet juga dilaporkan berkongsi foto dalam WhatsApp dan Facebook sejak Isnin lalu susulan penemuan batu seakan emas di sebuah bukit di Kampung Boluoh Bongkol di Pitas.

Seorang pekerja pembinaan jalan raya yang tidak mahu namanya disiarkan mendakwa dirinya antara individu terawal menemui emas berkenaan berkata, dia dan rakan sekerjanya menemui batu itu ketika sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan jalan di kawasan itu.

Ketika itu katanya, mereka menyedari beberapa batu ditemui di kawasan itu kelihatan seakan-akan seperti serpihan emas.

Katanya, mereka telah bekerja di situ lebih sebulan untuk membina Jalan Bongkol dan kejadian itu kali pertama mereka lihat batu-batuan seperti itu.

Pakar geologi Felix Tongkul ketika dihubungi berkata, berdasarkan gambar “emas” yang tular itu, beliau berpendapat batu terbabit kemungkinan adalah batu pirit dan kalkopirit.

Katanya, batu pirit terdiri daripada besi sulfida, manakala kalkopirit terdiri daripada sulfida dan tembaga yang masing-masing menyerupai emas.

Kedua-dua mineral itu dikenali sebagai “emas palsu” dan Tongkul mengatakan ia tidak bernilai, sambil menambah bahawa Pitas secara geografi “bukan tempat yang sesuai” untuk menemui emas. -FMT

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top