KOTA BELUD: Golongan ibu bapa disaran supaya membudayakan amalan menabung demi masa depan dan kesejahteraan anak-anak.
Penyelaras Program Si Cilik ke Sekolah Bersama Simpan SSPN Datuk Japlin Akim berkata inisiatif kerajaan menubuhkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sewajarnya direbut oleh ibu bapa khususnya sebagai persediaan awal mereka untuk melanjutkan pelajaran kelak.
Katanya, kos pendidikan dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa dan adalah penting kepada orang ramai untuk membuat persediaan awal bagi mengelakkan berdepan dengan masalah kewangan untuk membiayaikan kos pendidikan anak-anak.
“Pada hari ini pun kita semua terpaksa mengakui bahawa kos pendidikan sudah cukup membebankan apatah lagi untuk masa 15 atau 20 tahun akan datang.
“Oleh itu, saya menyarankan para ibu bapa segera memanfaatkan SSPN yang diwujudkan oleh kerajaan sebagai persediaan awal menghadapi apa juga kemungkinan pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Si Cilik ke Sekolah Bersama Simpan SSPN 2022 kawasan Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said Kota Belud sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pegawai Daerah Kota Belud, Majaran Osman, Pegawai Kemas Kota Belud, Norazhar Othman, Pengurus Kanan PTPTN Esifaridz Subohi, Pengurus Kanan cawangan PTPTN Sabah, Hamdan Razali serta kanak- kanak Tadika Kemas.
Seramai 100 orang murid dari lapan buah Tadika Kemas di kawasan Kota Belud menerima sumbangan akaun SSPN bernilai RM100 seorang.
“Kempen menabung melalui SSPN mempunyai banyak kelebihan dengan simpanan serendah RM20 bagi pembukaan akaun dan membuat penambahan deposit untuk akaun anak-anak.
Japlin berkata, program SSPN diharap dapat memberi pendedahan terutama kepada pelajar luar bandar untuk lebih berdaya saing dalam bidang pendidikan sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan keluarga.
Tambah beliau, para ibu bapa perlu merancang masa depan anak-anak mereka sebaik mungkin kerana kehidupan pada masa depan sudah pasti lebih mencabar berbanding hari ini.