Budaya Politik Baharu Sabah: Pandikar Puji Pendekatan Hajiji, Bung

pandikarAMImULIA.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kekuatan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor dan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dianggap diwarnai politik ‘tidak berdendam’.

Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, pendekatan GRS tersebut dianggap sebagai politik inclusiveness.

Katanya, sejak menerajui Sabah Hajiji tidak pernah menzahirkan hujah yang mengaibkan atau menyakiti hati pemimpin-pemimpin parti lawan.

“Dalam ucapan pembentangan belanjawannya yang pertama pada akhir tahun lalu, Datuk Seri Panglima Hajiji tidak menghentam sesiapa termasuk prestasi kerajaan Warisan sebelum ini.

“Sebaliknya beliau memfokuskan hala tuju kerajaan GRS. Kerajaan GRS juga tidak memecat atau menukar kaki tangan kerajaan yang memegang jawatan kanan dan penting yang dilantik kerajaan Warisan,” katanya pada kenyataan.

Sehingga sekarang Umno Sabah tetap mempertahankan kerajaan GRS biarpun presiden parti itu mendesak ahli parlimennya tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pandikar juga berkata, Ketua Menteri Sabah dan Bung Mokhtar tidak mengamal politik ‘witch hunt’.

Malah katanya jauh sekali daripada menjarak diri daripada teman-teman seperjuangan politik yang tidak separti dengan mereka.

“Contoh klasik mereka melantik saya memegang jawatan penting dalam kerajaan GRS walaupun Pandikar Amin Mulia bertanding mewakili USNO dan kalah di Dun Pintasan pada pilihan raya negeri lalu,” ujarnya yang dilantik sebagai Special Envoy BIMP-EAGA Sabah.

Kerajaan GRS diwujudkan atas persefahaman dan kerjasama antara Umno, Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan beberapa wakil rakyat bebas.

GRS sekarang bergerak dengan hala tuju ‘Sabah Maju Jaya’ yang turut disertai PAS sebagai komponen gabungan.

Pandikar turut yakin kerajaan GRS dapat mengatasi segala kelemahan yang cuba diungkit pihak tertentu di media sosial.

Kata beliau keyakinan itu disandarkan kepada kematangan politik rakyat Sabah dan pemimpin-pemimpinnya.

Beliau yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat berkata, kepimpinan Umno Pusat mengotakan janjinya terhadap status Umno Sabah yang memiliki autonomi dalam menentukan hala tuju politik.

“Umno Sabah tetap mempertahankan status quo kerajaan GRS. Inilah sifat politik yang ‘lembut tapi tegas’ yang diperlukan rakyat Sabah pada masa ini dan akan datang,” katanya.

Ujar beliau lagi objektif keberadaan Umno dan Bersatu di Sabah demi untuk kesejahteraan rakyat negeri itu.

Menurutnya kemunculan budaya politik baharu tidak dendam amat menyegar dan memberi semangat baharu kepada rakyat Sabah untuk bersatu berhadapan dengan cabaran-cabaran politik.– HARAKAHDAILY


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top