Budaya Cerminan Identiti Kaum – Robert

Robert-Kaamatan.jpg

Robert menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Mukim Apin-Apin, Merampong dan Bungaraya di sini.

Kongsi Bersama

Oleh Sam Othman

APIN-APIN : Budaya sesuatu suku kaum adalah cerminan identiti kaum itu sendiri dan ia perlu diwarisi dari generasi ke generasi supaya tidak hilang di telan zaman.

Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik berkata, mengekal dan memelihara budaya yang menjadi aset terpenting itu mestilah diterapkan ke dalam diri setiap generasi.

Menurutnya, mewarisi tradisi kaum sendiri bukan bermakna kolot atau berfikiran lama malah ia patut dijadikan kebanggaan.

“Generasi muda perlu mengambil tahu kebudayaan kaum sendiri khususnya amalan tradisional yang perlu dikekalkan, diwarisi dan dipraktikkan agar ianya tetap terpelihara dan subur meskipun dalam dunia yang serba maju ini.

“Jika kebudayaan kaum itu hilang, maka hilanglah juga identiti kaum tersebut, “ katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Mukim Apin-Apin, Merampong dan Bungaraya di sini.

Menurut ADUN Bingkor itu lagi, Pesta Kaamatan merupakan landasan yang baik untuk mendedahkan kesenian dan kebudayaan kaum bumiputera Sabah kepada masyarakat yang bukan dari kalangan KadazanDusun di negeri ini.

“Sudah pasti aktiviti atau program kebudayaan seumpama ini akan membolehkan masyarakat luar lebih memahami budaya tempatan selain mampu memupuk semangat perpaduan dan persefahaman yang kukuh.

“Perpaduan yang kukuh pula akan menjamin keamanan kerana ia adalah kunci ke arah menjadikan Sabah lebih makmur dan harmoni serta disegani di persada dunia,” katanya lagi.

Tambah beliau, Pesta Kaamatan atau dalam bahasa Kadazannya ‘Magavau’ merupakan upacara khas bagi menghormati ‘Bambazon’ (semangat padi) dan ia merupakan tradisi turun temurun suku kaum KadazanDusun selepas musim menuai padi.

“Ianya umpama melahirkan rasa kesyukuran dalam bentuk ritual supaya hasil tuaian bertambah baik pada tahun-tahun mendatang,” katanya, yang mewakili Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Sambutan Kaamatan Negeri, DSP Dr Jeffrey Kitingan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top