Bubar DUN: Warisan Patut Buat Kenduri Pulut Kuning

pulut.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Tulus Budiman

1. Di Semenanjung, dulu-dulu – sekarang pun masih ada – pulut kuning selalunya sinonim dengan majlis kesyukuran.

2. Kalau buat kenduri pulut kuning, maknanya tanda menzahirkan rasa bersyukur. Tak kiralah sama ada sebab sembuh daripada penyakit, lulus periksa, tercapai cita-cita, atau kadang-kadang sebab terlepas daripada bala.

3. Apabila melihat statistik Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan pertumbuhan KDNK Sabah menjunam dua tahun berturut-turut (2018, 2019) saya rasa kerajaan Warisan PH Plus Sabah patut buat kenduri pulut kuning. (Baca di sini)

4. Kenduri itu bukan untuk meraikan ‘kejayaan’ mencatatkan rekod pertumbuhan terendah itu, tetapi atas pembubaran DUN Sabah.

5. Mereka – Warisan PH Plus – juga patut mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Musa Aman dan 32 adun lain yang bersamanya kerana menjadi asbab pembubaran DUN itu.

6. Kalau DUN tak dibubar, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal masih berkuasa, saya bimbang tahun hadapan mereka akan malu sekali lagi bila pertumbuhan KDNK akan terus rendah.

7. Saya bukan ahli ekonomi. Tetapi seperti orang lain, saya dapat menjangka bahawa prestasi ekonomi Sabah untuk 2020 memang tidak banyak bezanya – atau mungkin lebih teruk – daripada negeri-negeri lain. Apatah lagi tahun ini Sabah tidak dapat menikmati sumbangan besar daripada sektor pelancongan seperti tahun-tahun sebelumnya.

8. Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking ketika mengulas mengenai pertumbuhan KDNK tercorot itu berkata, 26 bulan terlalu awal untuk mengukur prestasi kerajaan negeri.

9. Beliau juga memberi alasan antara sebab pencapaian buruk itu adalah kejatuhan harga komoditi di peringkat global.

10. Kita sudah boleh mengagak alasan apa yang akan diberikan jika pertumbuhan itu terus rendah untuk tahun 2020. Tentunya, Covid-19!

11. Dan kalau Warisan PH Plus kalah dalam PRN nanti pun mungkin itulah juga alasannya – Covid-19!


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top