Buaya puntung tersangkut pukat diserah kepada JHL

buaya-lahad-datu.jpg

Sylvester menerima buaya jantan daripada anggota APM. (Kredit foto: JHL)

LAHAD DATU: Buaya jantan sepanjang 17 kaki yang ditemukan tersangkut di pukat nelayan di Kampung Sungai Nipah Tambisan, di sini diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, kelmarin.

Pembantu Pegawai JHL Lahad Datu, Sylvester Wong berkata, pihaknya telah menerima buaya berkenaan daripada Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Desa Kencana.

Katanya, berdasarkan maklumat APM Desa Kencana, buaya itu telah tersangkut di salah satu pukat ikan penduduk di kampung berkenaan pada Rabu lepas.

“Anggota APM bersama penduduk kampung bertindak menangkap dan mengikat buaya terbabit, sebelum dibawa ke Pusat Operasi APM Lahad Datu.

“Pihak APM Lahad Datu kemudian menghubungi pihak JHL Lahad Datu untuk melaporkan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Menurutnya, kakitangan JHL Lahad Datu yang tiba di Pusat Operasi APM bertindak melonggarkan ikatan buaya berkenaan, namun keadaannya sangat lemah.

“Buaya yang dalam keadaan puntung kaki depan sebelah kiri itu dibawa ke perumahan JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan pihak APM dan penduduk terpaksa menggunakan jengkaut untuk mengangkat buaya jantan dewasa berkenaan.

 

Berita asal: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top