SEMPORNA: Seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah memberikan memberi maklumat palsu untuk mendapatkan kad pengenalan menggunakan sijil lahir anaknya yang sudah meninggal dunia.
Majistret Mahkamah Semporna, Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Sitti Jalminah Biddarin,56, selepas terbukti bersalah memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Abdullah dalam pertuduhannya menegaskan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh amat serius dan boleh menganggu kedaulatan negara.
“Ini adalah kesalahan yang agak serius kerana cubaan memberi seorang warga asing mendapatkan kad pengenalan menggunakan sijil lahir.
“Hukuman maksimum perlu dikenakan bagi memberi pengajaran kepada orang ramai di luar agar tidak melakukan kesalahan seperti ini,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, Pegawai Penguatkuasa JPN menahan dan menangkap tertuduh di JPN Daerah Semporna pada jam 2.35 petang 16 Mei lalu.
Tertuduh semasa memberikan keterangan didapati memberi maklumat palsu sebagai penganjur (penjamin) iaitu ibu semasa membuat permohonan kad pengenalan atas nama anaknya, di JPN Semporna, pada jam 11.23 pagi 15 Mei yang didapati bukan anak kandungnya.
Hasil siasatan lanjut mendapati anak kandungnya yang sebenar sudah meninggal dunia semasa berumur kira-kira enam bulan dan kematian berkenaan tidak didaftarkan.
Tertuduh didapati melalukan kesalahan mengikut Undang-Undang Jabatan Pendaftaran Negara Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda RM 20,000 atau kedua-duanya sekali.
Berita asal: Utusan Borneo