TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo yang sarat dengan muatan pelbagai barangan termasuk barangan kawalan di perairan Sungai Melayu, di sini, malam kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Ops Sejahtera/Ops Pluto Timur 2/13 dan Ops Cegah Pati Selatan, telah mengesan pergerakan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan di perairan sekitar dua batu nautika timur laut Sungai Melayu, Tawau, kira-kira 9.45 malam.
Katanya, bot kargo berkenaan bergerak dari arah perairan Batu Tiga menuju ke Pulau Sebatik.
Pemeriksaan awal mendapati bot dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 27 tahun.
“Semasa proses pemeriksaan dokumentasi, tekong bot terbabit gagal mengemukakan permit berkaitan barangan yang dibawa dan disyaki bot terbabit membawa barang kawalan secara berlebihan.
“Penggeledahan menyeluruh ke atas bot kargo tersebut telah menemukan sejumlah 50 unit tong gas petroleum cecair (LPG), 2,400 kilogram gula pasir, 1,480 kilogram daging beku dan lebih 100 kotak barangan kosmetik pelbagai jenis yang dimuatkan di dalam bot kargo tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Shahrizan berkata Zon Maritim Tawau akan melakukan siasatan lanjut berhubung kemungkinan bot kargo terbabit cuba menyeludup keluar barang kawalan ke negara jiran berikutan kedudukan Pulau Sebatik yang hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia.
Katanya, tekong beserta bot dan muatannya ditahan untuk siasatan lanjut.
Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan yang disita dianggarkan bernilai keseluruhan RM161,000.00
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Bagi suku tahun kedua 2022, Zon Maritim Tawau telah melaksanakan 36 kes tangkapan pelbagai kesalahan dengan 1,222 pemeriksaan rutin di perairan Tawau.
“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
“Salurkan sebarang salah laku jenayah di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya.