TAWAU: Tiga kanak-kanak masih belum ditemui antara sembilan mangsa bot karam di perairan kampung Batu Payung, Tawau, petang semalam.
Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Julius John Stephen Jr berkata, ketiga-tiga mangsa masih belum ditemui yang juga adik beradik dikenali Saiful Muhaimin 14 tahun dan dua adiknya Adam 13 tahun, dan Saina 12 tahun.
Enam lagi mangsa lain telah berjaya diselamatkan oleh orang awam dalam insiden tersebut.
Katanya, hasil maklumat awal dari mangsa bot karam, kesemua mangsa dipercayai dari kampung Rawa-Rawa, Batu 4, Jalan Apas menaiki bot terbabit menuju ke kampung Batu Payung dan berlaku Insiden bot karam semasa bot berkenaan dalam perjalanan balik ke perairan Batu 4.
Menurutnya, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan selepas pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira pukul 4.45 petang dan SAR ditangguhkan pada pukul 6.40 petang.
Operasi SAR akan diaktifkan semula kira-kira pukul 6.30 pagi, hari ini.
Turut terlibat dalam Operasi SAR di perairan bot terbabit telah karam, Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan 17 buah bot penduduk kampung.