SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas, manakala seorang lagi masih hilang selepas bot karam di kawasan perairan Pulau Nusa Tengah, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Nasirin Katibin, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan disahkan meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Noorjali Maslah berkata, enam anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi menggunakan bot jenis Kevlar bagi menjalankan operasi menyelamat (SAR) sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.41 petang.
Menurutnya, maklumat awal mendapati kejadian membabitkan sebuah bot yang dinaiki dua lelaki dewasa bersama dua kanak-kanak berusia tujuh tahun karam selepas dipukul ombak besar.
“Dua mangsa lelaki iaitu bapa kepada kedua-dua kanak-kanak terbabit dikenali Katibin Husni, 28 dan Ampir Gopek, 25, berjaya diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM).
“Bagaimanapun, seorang kanak-kanak ditemukan lemas dan seorang lagi mangsa, Padli Ambit juga berusi tujuh tahun masih hilang,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Noorjali berkata, pasukan bomba bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Taman-Taman Sabah, dan PPM menjalankan operasi pencarian seluas 3.225 Batu Nautika dari lokasi bot dilaporkan karam.
Beliau menjelaskan, bagaimanapun setakat ini mangsa belum ditemukan dan operasi ditangguhkan sebelum dijangka disambung pada hari ini.
Sumber: BHarian