Bot karam di Sandakan: Mayat kanak-kanak ditemukan 600 meter dari lokasi kejadian

karam.jpg

Romy Azlan ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi dilaporkan hilang. (Gambar APMM)

SANDAKAN: Mayat mangsa kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dilapor hilang selepas bot dinaiki bersama lima lagi penumpang yang juga ahli keluarganya karam di 0.2 batu nautika Tanjung Batu, di sini, petang Selasa, ditemui kira-kira jam 11.00 pagi Rabu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki, berkata, Romy Azlan ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi kanak-kanak itu dilapor hilang.

Mangsa berjaya ditemui oleh Bot Kilat 8 iaitu salah sebuah bot peronda dari Zon Maritim Sandakan yang diarahkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan pencarian awal mangsa.

Media sebelum itu melaporkan Zainudin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian bot karam berkenaan kira-kira jam 4 petang, pada Selasa.

Katanya, Maritim Malaysia bertindak membuka pangkalan Hadapan Carilamat bagi mengkoordinasi pencarian berkenaan dan mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa.

“Mangsa bersama lima keluarganya termasuk dua kanak-kanak menaiki bot berkenaan dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju ke Kampung Mumiang.

“Bot itu kemudian dipercayai terlanggar satu objek terapung menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan.

“Turut membantu pencarian Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot nelayan tempatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top