Bomba Guna Tali ‘Highline’ Bantu Mangsa Banjir

bomba-selamatkan-mangsa-banjir.jpg
Kongsi Bersama

RANAU: Pasukan bomba terpaksa menggunakan tali “highline” untuk menghantar bantuan makanan kepada mangsa yang terperangkap akibat banjir di Kampung Perancangan, di sini, malam tadi.

Usaha itu dilakukan kerana lelaki terbabit tidak dapat menyeberangi sungai berikutan limpahan air yang deras selain hujan berterusan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mereka menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.55 tengah hari.

“Operasi menyelamat telah dijalankan namun keadaan arus sungai yang deras menghalang usaha itu,” katanya ketika dihubungi.

“Pasukan penyelamat kemudian berjaya menghantar bantuan makanan kepada mangsa menggunakan sistem tali ‘highline’ pada 10.40 malam.”

Beliau berkata, operasi menyelamat ditangguhkan pada 11 malam tadi dan akan disambung pada 7 pagi hari ini.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat dengan seramai 1,862 mangsa daripada 599 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam tadi.

Menurut statistik yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, sebanyak 20 PPS dibuka di enam daerah berasingan.

Ini membabitkan 11 PPS di Kota Marudu, masing-masing tiga di Paitan dan Telupid, serta masing-masing satu di Pitas, Beluran dan Sandakan.

Antara daerah yang terjejas akibat banjir setakat ini adalah Kota Marudu, Paitan, Telupid, Pitas, Beluran, Sandakan, Ranau, Kinabatangan dan Lahad Datu. – FMT

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top