Bom ikan: Empat warga Filipina ditahan

bom-ikan.jpg

(Foto: Ihsan Maritim Malaysia)

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan empat individu warga Filipina seterusnya menggagalkan aktiviti bom ikan kira-kira 0.1 batu nautika di kawasan Selatan Pantai Bangingod, Lahad Datu di sini.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, kejadian berlaku apabila bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengesan dua buah bot pam berwarna biru coklat dan merah biru hasil aduan pihak awam kira-kira jam 1.40 tengah hari.

“Semasa dihampiri, bot peronda mengesan bot pam berkenaan yang leka melakukan aktiviti mengebom ikan.

“Suspek didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 iaiti menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata kesemua empat kru bot warga Filipina berumur antara 18 tahun hingga 35 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan tidak memiliki lesen serta nombor pendaftaran yang sah.

“Turut dirampas dalam operasi ini ialah dua buah enjin bot, satu penyauk ikan, lima ekor ikan yang dipercayai ditangkap hasil dari penggunaan bom ikan serta sebotol bom ikan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan komuniti maritim terutamanya di Sabah agar tidak melakukan aktiviti bom ikan kerana aktiviti ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah membawa kesan negatif kepada ekosistem akuatik dan juga membahayakan nyawa serta aktiviti menyelam.

“Zon Maritim Lahad Datu memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu agar terus memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang maklumat atau salah laku dan kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top