Bom ikan: Empat lelaki Palauh ditahan

lelaki-palauh.jpg

Dua bot pam yang ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti bom ikan di perairan Lahad Datu.

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Empat lelaki suku Palauh ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan daerah ini, kelmarin.

Keempat-empat lelaki berusia 20 hingga 40 tahun itu yang menggunakan dua bot pam ditahan ketika sedang melakukan aktiviti mengebom ikan di 2.2 batu nautika di kawasan selatan Pulau Kun Kun.

Pengarah APMM Lahad Datu, Komander Maritim Ts Dr Suzanna Razali Chan berkata, bot peronda APMM mengesan dua bot pam melalui aduan awam pada 6.16 petang dan 6.31 petang hari yang sama.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985 membabitkan aktiviti menangkap ikan guna bahan letupan, racun dan sebagainya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati empat kru bot tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dipercayai suku Palauh dan tidak memiliki lesen serta nombor pendaftaran yang sah.

“Turut dirampas dua enjin bot, dua hos berserta kompresor dan dua botol bom ikan. Nilai semua rampasan berjumlah RM5,000,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Suzanna berkata, komuniti maritim terutamanya di Sabah diingatkan tidak melakukan aktiviti bom ikan kerana ia bukan saja salah di sisi undang-undang malah membawa kesan negatif kepada ekosistem akuatik dan membahayakan nyawa serta aktiviti menyelam.

“APMM Lahad Datu memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim supaya terus memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah di laut,” katanya.

Sumber: Sabah Post

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top