KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak disarankan agar dijadikan lokasi pelaburan di Malaysia bagi memperkasakan ekonomi Borneo khususnya di dua negeri tersebut.
Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, syarikat dari China, Gold King Solar telah berhasrat untuk melabur di Malaysia.
“Mereka (pihak Gold King Solar) telah berjumpa dengan pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); dan MIDA telah pun membawa mereka ke beberapa lokasi di Semenanjung. Malangnya tidak di uar-uarkan atau dipromosikan investasi di sebelah Sabah dan Sarawak.
“Jadi disebabkan pelabur dari China kenal saya, mereka bertanya boleh tak bawa kita ke Sarawak, maka saya bawa mereka pada bulan lepas melabur di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi jawab lisan, di Dewan Negara, di sini, pada Rabu.
Menurut Jaziri, kerjasama itu telah membawa pelaburan sebanyak RM3.5 bilion dengan 1,300 peluang pekerjaan.
“Persoalan saya, boleh tak mana-mana pelabur yang berhasrat masuk ke Malaysia kita sertakan bersama pihak Sabah dan Sarawak? Saya cadangkan jawapannya boleh,” katanya.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong sehubungan itu dalam jawapannya, bersetuju dengan cadangan tersebut.
Beliau berkata, MIDA ataupun agensi d ibawah MITI tidak memihak kepada mana-mana negeri.
“Semua wilayah dan negeri dirangkumi dan kalau ada minat daripada pelabur memang pihak kementerian atau MIDA akan sentralisasi,” katanya. – HARAKAHDAILY