KOTA KINABALU: Mantan ADUN Nabawan, Senator Datuk Bobbey Suan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim pada Isnin.
Bobbey adalah antara empat senator yang mengangkat sumpah jawatan semalam. Tiga yang lain adalah Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin, Senator Datuk John Ambrose dan Senator Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee.
Radzi, Ambrose dan Teo semuanya dilantik semula untuk penggal kedua dengan pelantikan Radzi berkuat kuasa dari 17 Julai 2021 hingga 16 Julai 2024; Ambrose (16 Jan 2021 hingga 15 Jan 2024) dan Teo (dari 19 Julai 2021 hingga 18 Julai 2024).
Sementara Bobbey adalah lantikan kali pertama pilihan Dewan Undangan Negeri Sabah berkuat kuasa mulai 5 Januari lalu hingga 4 Januari 2024.
Borneo Post dalam laporannya mengatakan, Bobbey mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerana mengemukakan usul untuk melantiknya sebagai senator pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Disember tahun lalu.
“Ucapan terima kasih juga saya sampaikan kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Speaker Dewan Undangan Negeri, menteri kabinet dan wakil rakyat negeri yang menyokong usul tersebut,” katanya.
Menurut Borneo Post, Bobbey ketika dihubungi, mengatakan bahawa beliau akan mengenengahkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan negeri dan negara dalam sidang Dewan Negara akan datang yang dijadual diadakan pada bulan Ogos.
“Saya akan memperkatakan mengenai situasi politik di negeri dan negara serta melihat keharusan untuk mengubah mana-mana bahagian undang-undang agar sesuai dengan keadaan kita sekarang.
“Saya juga akan menyentuh mengenai usaha meningkatkan aktiviti ekonomi dan mencari cara yang lebih sesuai untuk menangani wabak Covid-19 sekarang,” katanya, sambil menambah bahawa pengalamannya sebagai ADUN empat penggal dan pembantu menteri empat penggal di Kabinet Negeri akan diterjemahkan dengan lebih baik di bawah pemerintahan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Ketua Menteri dan Perdana Menteri.
Bobbey mengatakan bahawa perubahan dalam pemerintahan baru-baru ini akan memastikan bahawa hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan akan lebih kuat dan ini akan memberi jaminan kepada rakyat bahawa kesejahteraan mereka akan dijaga dengan sebaik mungkin.