BN Ulangi Pendirian Tidak Restu PBRS Bertanding di Ranau

BUNG.jpg

Bung Moktar di program Pentas Perdana bersama calon BN Parlimen Sepanggar, Datuk Yakub Khan semalam.

KOTA KINABALU: BN Sabah sekali lagi menegaskan pendirian pihaknya yang tidak pernah merestui tindakan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bertanding di mana-mana kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Walau bagaimanapun dalam isu yang melibatkan calon PBRS bertanding di Parlimen Ranau, tindakan sukar diambil kerana calon berkenaan menggunakan logo parti bukannya logo BN.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah tidak membenarkan PBRS meletakkan calon di kawasan yang ditandingi oleh GRS bertujuan mengelak pertembungan antara kedua-dua pihak.

“Pendirian kita sangat jelas, kita tidak membenarkan dan tidak merestui PBRS untuk bertanding di mana-mana kawasan sebab ini melanggar rundingan kita dengan GRS,” katanya kepada pemberita selepas program pentas perdana bersama calon BN Parlimen Sepanggar, Datuk Yakub Khan di Dewan Kampung Warisan, Inanam di sini pada malam Selasa.

Semasa penamaan calon Sabtu lepas PBRS meletakkan calon, Datuk Ewon Ebin yang bertanding atas tiket PBRS di Parlimen Ranau sedangkan dalam masa sama calon GRS, Datuk Jonathan Yasin turut bertanding bagi mempertahankan kerusi miliknya itu.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh BN Sabah, Bung Moktar berkata, ia sukar ditentukan kerana calon berkenaan bertanding menggunakan logo partinya sendiri.

“Tindakan susahlah, sebab dia guna logo mereka sendiri tetapi tidak pernah pun berunding,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top