BN Sabah yakin Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram milik Kerajaan Perpaduan- Bung Moktar

umno_bung.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

PULAI: UMNO dan Barisan Nasional (BN) memainkan peranan sekali gus membantu memenangkan calon PH dari Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kemenangan calon PH itu akan membantu memperkuatkan kedudukan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negara serta rakyat secara keseluruhannya.

“Rakyat perlu meneruskan momentum kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di sini.Tradisi penyandang kerusi ini sangat terkenal dengan prestasi kerja yang sangat baik…Kita juga akan berusaha keras akan membantu calon PH.

“Saya yakin kedua-dua kerusi ada peluang untuk PH menang, tetapi dalam semua kempen pilihan raya (calon dan parti gabungan) mesti berhati-hati dan bertungkus-lumus kerja serta sedia hadapi apa saja cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama penyokong UMNO BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rumah Pangsa Sri Indah di Parlimen Pulai Johor di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin dan Ketua UMNO Bahagian Tawau Gazali Ansing.

Bung Moktar berkata, BN serta PH perlukan kemenangan dalam PRK di Pulai dan Simpang Jeram bagi mengukuhkan lagi kerajaan di Putrajaya.

“Kita turut mengingatkan pengundi UMNO supaya tidak terpengaruh dengan propaganda dilontar pembangkang mengenai kerjasama gabungan dengan PH terutama DAP,” katanya.

PH mempertaruhkan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat bagi Parlimen Pulai menentang calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas yang juga Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi.

Bagi DUN Simpang Jeram pula, PH mempertaruhkan Timbalan Ketua AMANAH kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman berdepan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya yang juga pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular serta calon Bebas, S Jeganathan.

 

Berita asal: Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top