TAWAU: UMNO Bahagian Kalabakan menyokong kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang meluahkan rasa kesal dengan kabinet baharu Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (gambar) berkata ketiadaan ahli parlimen BN Sabah dalam barisan kabinet baharu itu seolah-olah menunjukkan parti itu disisihkan oleh kerajaan perpaduan.
Katanya, BN Sabah adalah paling awal memberikan komitmen bersama BN pusat untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar menjadi kerajaan.
“Calon-calon BN Sabah juga telah menunjukkan prestasi yang baik berbanding parti lain apabila berjaya memenangi tujuh kerusi parlimen di Sabah dengan majoriti yang besar.
“Sepatutnya PM perlu membuat pertimbangan supaya melantik ahli parlimen dalam kalangan BN Sabah bagi mengimbangi komposisi jawatan menteri yang meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata, Sabah hanya diberikan dua portfolio kementerian sahaja iaitu daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH.
“Kedua-dua wakil daripada Sabah itu adalah ahli parlimen yang berada di Pantai Barat Sabah iaitu parlimen Papar dan Penampang.
“Justeru, PM perlu mempertimbangkan pemberian jawatan menteri kepada ahli parlimen daripada Pantai Timur Sabah khususnya daripada BN,” katanya.
Tambah beliau, pertambahan ahli parlimen Sabah mewakili kabinet kerajaan sangat perlu memandangkan geografi Sabah sangat besar dan pembangunannya juga jauh ketinggalan berbanding semenanjung.
“Saya berharap PM dapat menambah baik semula barisan kabinet dengan memasukkan beberapa ahli parlimen daripada Sabah supaya ia dilihat seimbang dan inklusif,” katanya.