SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) Sabah menyangkal dakwaan penganalisis politik yang melihat kehadiran gabungan politik itu sudah tidak relevan di Sabah atau ketinggalan zaman dan tidak mungkin menang bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata keberadaan BN masih relevan dan mendapat sokongan ramai rakyat Sabah khususnya di kawasan luar bandar negeri itu.
Beliau berkata, kemungkinan peluang BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN)Ke-17 mungkin agar sukar di kawasan bandar, namun BN masih mempunyai sokongan bagi kerusi-kerusi di kawasan luar bandar dan separuh bandar.
“Apa yang dikatakan oleh penganalisa itu hanya berupa pandangan peribadi beliau, yang hanya hanya di atas kertas dan analisa tersebut juga lebih memihak kepada satu satu pihak demi beberapa kepentingan,ianya jauh berbeza dengan keyakinan kami (BN/UMNO) yang sentiasa berada di lapangan yang mana BN masih mendapat sokongan oleh rakyat khususnya di kawasan luar bandar
“Hanya BN /UMNO saja yang dapat membantu sewaktu rakyat dalam keadaan memerlukan berbanding parti lain. Kekuatan BN/UMNO untuk kawasan seperti di bandar mungkin agak sukar, tapi bagi kawasan luar bandar dan separuh bandar, BN masih ada penyokongnya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini
Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Libaran ,diminta mengulas pandangan seorang penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang antara lain berpendapat bahawa jenama BN sudah ketingalan zaman dan memerlukan transformasi dengan kerjasama parti lain pada pilihan raya nanti.
Tambah Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah, walaupun UMNO Sabah berhadapan dengan tsunami politik selepas PRU Ke-14 dengan tindakan beberapa orang pemimpin UMNO di negeri ini yang meninggalkan parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu) ketika itu sehingga ada menyifatkan UMNO akan terkubur di Sabah namun hakikatnya sehingga ke hari ini 25 bahagian UMNO di Sabah masih wujud.
“Tindakan beberapa pemimpin UMNO sebelum ini menyertai (Bersatu) kini bersama (GRS) ternyata tidak dapat menafikan kewujudan serta kekuatan BN/UMNO di Sabah yang kini mempunyai keahlian di seluruh Sabah sekitar 600 ribu orang yang membuktikan UMNO/BN masih diterima oleh rakyat Sabah” Jelas Suhaimi.
Sebelum ini, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tidak menolak kemungkinan BN Sabah bertanding solo pada PRN17 jika gagal mencapai kata sepakat dengan parti lain, termasuk Pakatan Harapan (PH).
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata beliau berkeyakinan rakyat Sabah akan kembali menyokong BN pada PRN17 berdasarkan penilaian pencapaian tiga era pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
“Rakyat sudah melihat tiga era kerajaan iaitu BN, Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Mereka sedar apa yang berlaku dan melihat kekurangan untuk kelangsungan pembangunan infra dan ekonomi rakyat Sabah,” katanya.
Selain itu, katanya isu semasa yang berlaku di bawah kerajaan hari ini juga menjadi antara kelebihan yang menyebabkan BN berada di hati rakyat
Sementara itu, mengulas mengenai kekuatan BN Sabah jika bertanding solo pada PRN17, Suhaimi berkata BN Sabah tidak akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika memilih untuk bergerak solo.
Katanya, BN hanya meletakkan calon di kerusi tumpuan tetapi dengan jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
Sumber: Jesselton Times