BN Sabah rangka manifesto PRN17, bukan janji bulan dan bintang – Bung Moktar

BN-Sabah.jpg

Bung Moktar bersama barisan kepimpinan Barisan Nasional Sabah selepas mempengerusikan mesyuarat tertinggi BN Sabah di bangunan UMNO pada Sabtu lepas.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah sedang merangka manifesto dan aku janji baharu bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 (PRN17).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau telah menerima saranan daripada barisan tertinggi BN dan UMNO agar disediakan satu tawaran baharu untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada parti sempena menghadapi PRN17 akan datang.

“Atas sebab itu saya meminta satu pasukan yang diketuai oleh Setiausaha BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin bersama jawatankuasanya terdiri dari beberapa pemimpin UMNO dan komponen BN Sabah duduk semeja, berbincang dan merangka manifesto yang padat, jelas dan mampu ditunaikan kelak.

“Fokus kami memperbaiki negeri dari segi keperluan pembangunan insfrastruktur asas yang masih kritikal, memperkasakan ekonomi selain mahu memulihkan kadar pengangguran pada tahap yang rendah; juga tawaran kepada pengundi muda yang akan mempengaruhi pola pengundian pada PRN kali ini,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN Sabah di bangunan UMNO di sini pada Sabtu lepas.

Hadir sama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Setiausaha BN Sabah Datuk Jafry Ariffin; Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak serta ketua dan wakil ketua komponen BN Sabah dari MIC, MCA dan PBRS.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah memberi jaminan manifesto parti itu adalah aku janji yang mampu dilaksanakan dan bukannya ‘janji bulan bintang’ atau satu gagasan besar sebagaimana yang dilakukan oleh parti lain namun akhirnya gagal ditunai sedangkan rakyat terus menagih janji.

“Manifesto BN Sabah akan dikeluarkan mengikut keupayaan BN menunaikannya, ianya bukan janji bulan dan bintang, kita tidak menjanjikan manifesto atau satu gagasan besar yang akhirnya tidak mampu ditunaikan.

“Manifesto ini perlu disiapkan lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan PRN17 akan diadakan lebih awal dari tempoh yang sebenar kerana sejarah pernah berlaku PRN Sabah diadakan lebih awal, justeru BN kena bersedia awal,” tambah Bung.

Dalam acara berasingan Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut mengadakan mesyuarat Perhubungan UMNO Sabah dan seterusnya menyerahkan watikah pelantikan kepada 25 orang pengerusi penyelaras BN di setiap kawasan Parlimen.

Menurut beliau pelantikan tersebut bertujuan untuk menyelaras BN di setiap kawasan iaitu pengerusi penyelaras dapat memanggil ketua parti masing-masing untuk duduk berbincang merangka strategi berkaitan hala tuju dan menyusun jentera yang rapi dalam berhadapan dengan PRN kelak.

“Saya berharap mereka yang dilantik akan menggalas amanah serta tanggungjawab bagi memperkukuhkan kedudukan BN di kawasan-kawasan masing-masing khususnya untuk berhadapan dengan PRN akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top