BN Sabah lantik 25 penyelaras di setiap parlimen

umno-sabah.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN : Barisan Nasional (BN) Sabah telah melantik seramai 25 orang penyelaras bagi setiap parlimen di negeri ini sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 nanti.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, cadangan melantik penyelaras tersebut telah lama dikemukakan di peringkat Majlis Tertinggi BN, bagaimanapun ia baharu diluluskan awal bulan ini.

“Lama sudah kita cadangkan untuk pelantikan penyelaras BN di seluruh parlimen, cuma BN Pusat belum ada masa untuk bermesyuarat. Pada 5 Mac, BN Pusat telah bermesyuarat dan mempersetujui pelantikan 25 penyelaras BN di seluruh parlimen di Sabah.

“Pada saya ini adalah amat baik sebab penyelaras yang dilantik akan memanggil ketua-ketua di kawasan masing-masing untuk membincangkan hala tuju dan masa depan BN dalam berhadapan dengan pilihan raya.

“Walaupun pilihan raya dijangkakan bulan September tahun depan, tetapi biasanya di Sabah kurang daripada 5 tahun. Oleh itu, kita perlu bersedia daripada awal untuk memastikan Umno dan BN benar-benar mampu untuk berlawan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Gerak17 Umno Sabah DUN Sungai Manila di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerjasama dengan parti lain menjelang PRN-17, beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata perbincangan memang telah diadakan, bagaimanapun pihaknya belum mengambil sebarang keputusan.

“Berbincang dan memutuskan adalah dua perkara berbeza. Kita ingin melihat mana-mana parti yang kita rasa boleh membawa keuntungan dan pemimpin parti itu juga menghormati parti kita dan keputusan bersama.

“Kita tidak mahu lagi selepas berunding nanti kita dikhianati. Pengajaran sebelum ini telah memperkukuhkan kita untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan,” kata Bung Moktar. – Sabah News Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top