KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah akan menggunakan kemenangan parti itu pada PRK Nenggiri kelmarinsebagai pembakar semangat dan panduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, yang dijangka tahun depan.
Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata strategi kempen yang digunakan semasa pilihan raya kecil itu boleh menjadi rujukan kepada jentera BN Sabah untuk menarik sokongan pengundi pada pilihan raya negeri.
Tambahnya, situasi dan isu pembangunan di Kelantan khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mempunyai banyak persamaan dengan Sabah.
“Terdapat pengalaman yang kami perolehi daripada strategi kempen dan isu domestik khususnya pembangunan infrastruktur di Nenggiri yang tidak jauh bezanya dengan situasi di Sabah,” katanya.
Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah berkata, rakyat Kelantan khususnya di Nenggiri menolak Perikatan Nasional dan Pas berikutan kegagalan kerajaan negeri membangunkan negeri itu.
Beliau berkata kekurangan infrastruktur asas dan peningkatan ekonomi menyebabkan negeri ituketinggalan dalam pembangunan.
“Keadaan itu tidak jauh berbeza dengan apa yang dialami rakyat Sabah ketika ini berikutan kegagalan kerajaan negeri merealisasikan slogan ‘Sabah Maju Jaya’ walaupun mentadbir Sabah selama lebih empat tahun.
“Justeru, tidak mustahil rakyat Sabah akan membawa perubahan sama seperti yang berlaku di Nenggiri.
“Kemenangan itu akan memberikan anjakan paradigma kepada ahli Umno dan BN khususnya di Sabah untuk bangkit membela rakyat selepas dinafikan dan dikhianati, walaupun memberikan sumbangan terbesar dalam membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri lalu,” katanya.
Sementara itu, Bung Moktar, yang juga ahli Parlimen Kinabatangan, percaya kemenangan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani di Nenggiri adalah signifikan untuk kebangkitan BN di negara ini, khususnya di Kelantan.
“Pilihan raya ini bukan sekadar pilihan raya biasa kerana Kelantan dikenali sebagai kubu kuat Pas. PRK Nenggiri baru-baru ini telah mendedahkan anjakan sentimen rakyat yang semakin meningkat.
“Ia membawa mesej untuk bangkit dan membawa perubahan terutama dari segi pembangunan yang gagal dilaksanakan kerajaan negeri Kelantan khususnya di kawasan Nenggiri,” katanya sebagai dilaporkan oleh NST.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Umno dan BN perlu terus istiqamah dan tidak terlalu berbangga dengan kejayaan ini, sebaliknya berazam untuk terus bekerja keras untuk menterjemah kemenangan ini di seluruh negara.