BN, PN, GPS Setuju Tubuh Majlis Presiden

majlis-presiden-BN-PN.jpg
Kongsi Bersama

Semua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju sebulat suara menubuhkan Majlis Presiden bagi mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan dan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata susulan penubuhan Majlis Presiden itu yang akan dianggotai ketua parti berkenaan, langkah-langkah juga akan diambil ke arah penggubalan sebuah piagam antara parti.

“Majlis Presiden akan bertemu lebih kerap dengan pertemuan pertama awal tahun hadapan  untuk mendengar taklimat mengenai kedudukan ekonomi semasa negara, pengurusan Covid-19 dan penyediaan Rancangan Malaysia ke-12,” kata beliau.

Penubuhan Majlis Presiden itu dilihat langkah penting diambil kerajaan pimpinan Muhyiddin  untuk menangani sebarang pertikaian dengan UMNO, iaitu blok terbesar dalam kerajaan PN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Dr Wee Ka Siong, Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden PBS Datuk Seri Maximus Ongkili antara yang hadir bersama Muhyiddin untuk bersetuju menubuhkan Majlis Presiden Kerajaan PN.

“Platform (Majlis Presiden) itu untuk membincangkan dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti dalam kerajaan,” kata Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi pihak Sekretariat Parti-Parti Dalam Kerajaan PN.

“Pada mesyuarat itu juga, parti-parti dalam PN membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” kata Hamzah.

Pada 28 Nov lalu, Muhyiddin berkata sudah tiba masanya sebuah Majlis Presiden dianggotai ketua parti kerajaan dibentuk.

Kenyataan itu dibuat susulan pelbagai  peringkat pimpinan UMNO  sering mempertkaikan keputusan-keputusan kerajaan PN, khususnya bersabit Belanjawan 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat kelmarin.

Hubungan UMNO dan PPBM yang dipimpin Muhyiddin juga tegang seketika akibat krisis politik di Perak yang menyaksikan jawatan menteri besar negeri itu beralih dari PPBM kepada UMNO.

Penubuhan Majlis Presiden Kerajaan  PN yang disokong oleh UMNO dilihat menyediakan platform untuk menangani permasalahan antara dua pihak itu dengan lebih berkesan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top