IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak akan memperkenalkan ADUN dilantik sekiranya gabungan itu memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-15, kata pengerusinya Datuk Seri Saarani Mohamad.
FMT melaporkan Saarani berkata, dengan majoriti dua pertiga akan membolehkan kerajaan negeri meminda perlembagaan Perak dan membenarkannya melantik ADUN daripada kumpulan minoriti dan belia tanpa memerlukan pilihan raya.
Katanya, pindaan yang sama telah dibuat di Sabah.
“Pindaan perlembagaan Sabah dibuat untuk memberikan hak kepada parti yang menang melantik enam ADUN tanpa perlu melalui pilihan raya.
“ADUN ini membantu membentuk kerajaan yang kuat dengan undi yang mencukupi untuk meluluskan undang-undang di DUN,” katanya ketika merasmikan manifesto BN Perak malam tadi.
Menurut laporan itu lagi Saarani bagaimanapun berkata, BN masih belum memuktamadkan bilangan ADUN dilantik gabungan itu.
“Tujuan (ADUN dilantik) adalah untuk memberi peluang kepada golongan minoriti dan belia,” katanya.