PUTRAJAYA: Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan menggunakan lambang parti, iaitu dacing yang sudah biasa kepada pengundi.
Setiausaha Agung BN yang juga Ketua Koordinator BN bagi PRN Sabah, Tan Sri Annuar Musa, berkata tinjauan mendapati pengundi sudah biasa dengan lambang dacing dan ia tidak boleh dipandang remeh.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, biro politik dan Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat, sudah memaklumkan kepada parti rakan komponen Perikatan Nasional (PN) bahawa calon BN akan menggunakan lambang dacing.
“Walaupun bertanding atas logo BN, parti lain yang nak guna (lambang) PN, tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Town Hall Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Kementerian Wilayah Persekutuan Tahun 2020 di sini, hari ini.
Annuar berkata rundingan juga dicapai dengan komponen PN supaya tidak akan ada perebutan kerusi untuk ditandingi.
“Soal siapa bertanding dan di mana, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sudah diberi mandat dan beliau juga sedang memuktamadkan (senarai calon).
“Kita sudah 80 peratus bersedia (dan) rundingan antara parti-parti juga berjalan dengan baik di mana kita sudah ada satu persefahaman yang kita tidak akan benarkan situasi ‘free for all’ dalam kalangan parti pembangkang tetapi pembangkang yang bersatu-padu,” katanya.
Annuar berkata, BN juga bekerjasama rapat dengan rakan daripada PN bagi memastikan kemenangan calon walaupun berlainan logo.
“Kami bekerjasama rapat dengan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Malah kami akan berkongsi jentera (pilihan raya), kami adalah satu walaupun guna logo berbeza,” katanya.
PRN Sabah ditetapkan pada 26 September, manakala penamaan calon pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September dengan sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.-BERNAMA