KOTA KINABALU: Majlis pengumuman calon-calon Barisan Nasional (BN) yang dijadualkan petang esok dilaporkan ditunda ke pagi Khamis, 10 September.
Majlis itu akan diadakan secara bersama antara BN dan Bersatu pada jam 10 pagi di sebuah hotel di sini.
Difahamkan, BN dan Bersatu pada awalnya tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan majlis itu secara bersama berdasarkan jemputan media yang dihantar kepada media lebih awal.
BN pada mulanya dijadualkan mengumumkan calon pada Rabu manakala calon Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pula akan diumumkan pada hari berikutnya.
Malaysiakini melaporkan ketika dihubungi, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Yakub Khan mengesahkan BN akan mengumumkan calon bersama Bersatu pada Khamis ini.
BN menangguhkan pengumuman calonnya kerana menunggu permohonan rayuan oleh bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman di Mahkamah Rayuan.
“Kita tunggu sebab kalau kita umum awal-awal, tiba-tiba pilihan raya dibatalkan, jadi itu sebab kita tunggu keputusan baru kita buat,” katanya.
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan yang dikemukakan Musa Aman bersama 32 lagi Adun berhubung keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dun pada 30 Julai lalu.
Mengulas lanjut, Yakub berkata beliau tidak pasti sekiranya parti yang memihak kepada PN, termasuk Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan menyertai majlis pengumuman calon Khamis ini.
“Saya tidak pasti,” katanya.
Awal hari ini, Presiden STAR, Datuk Jeffrey Kitingan memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak berpuas hati dengan rundingan kerusi antara parti-parti dalam PN dan BN apabila partinya hanya diberikan enam hingga lapan kerusi sedangkan parti itu menuntut sebanyak 15 hingga 18 kerusi.