BN 3O Kerusi, Bersatu 20 Kerusi…

bn-bersatu.jpg

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dikatakan sudah mendapat persetujuan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 30 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sementara 20 kerusi pula diperuntukkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Berita Harian melaporkan smber kedua-dua parti itu yang dihubungi memaklumkan, jumlah itu yang sudah diputuskan setakat kini, selebihnya masih dalam proses rundingan akhir, yang dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat, sebelum hari penamaan calon 12 September ini.

DUN Sabah kini mempunyai 73 kerusi, pertambahan sebanyak 13 lagi kerusi berbanding 60 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tanpa menjelaskan secara terperinci kerusi DUN yang ditandingi, sumber BN itu memaklumkan majoriti kerusi yang akan mereka tandingi adalah kawasan yang dimenangi dalam PRU-14.

“BN pertahankan kerusi yang mereka menang dalam PRU lalu. Cuma ada beberapa kerusi (yang menang) dilepaskan (kepada BERSATU),” katanya sambil memaklumkan sebahagian agihan kerusi yang masih belum selesai itu juga membabitkan parti lain termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Ditanya sama ada jangkaan akan wujud pertembungan sesama sendiri jika rundingan di beberapa kerusi gagal, beliau tidak menolak ada kemungkinan itu, namun menegaskan ia hanya membabitkan jumlah yang terlalu kecil.

Sementara itu, sumber pimpinan BERSATU Sabah pula mengakui jumlah kerusi yang diterima mereka lebih kecil dan rundingan masih dijalankan untuk memperoleh beberapa lagi kerusi tambahan.

Secara asasnya, BERSATU Sabah dan UMNO bersetuju untuk kedua-duanya tidak bertembung sesama sendiri, namun mengakui ada sebilangan kerusi agak sukar untuk dirundingkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top