Blok Borneo Bolehkan Pemimpin Sabah, Sarawak Jadi PM – Leiking

darell-leiking.jpg

Datuk Darell Leiking (Gambar fail).

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kebimbangan wujud Blok Borneo menyebabkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mula menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Sabah dan Sarawak.

Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Darell Leiking berkata, kenapa harus Sabah dan Sarawak menerima tawaran sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan pemimpin Sabah, Sarawak layak menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, sekiranya Sabah dan Sarawak mempunyai jumlah kerusi yang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kedua-dua negeri ini boleh berbincang bagi memutuskan calon Perdana Menteri.

“Bayangkan sekiranya keadaan masih belum jelas di Semenanjung Malaysia, tiada jumlah kerusi yang mencukupi maka, situasi itu boleh wujudkan kebangkitan Blok Borneo di Malaysia Timur.

“Bila sebut tentang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, sentiasa ingat bahawa Sabah mahu membina blok dan menang sebanyak mungkin kerusi yang boleh.

“Apabila kita mempunyai kerusi yang banyak, saya percaya bukan hanya kita ada calon bahkan Sarawak juga ada calon sekiranya kita kerjasama,” katanya ketika ditanya sekiranya Warisan telah menamakan calon Perdana Menteri.

Penyandang kerusi Parlimen Penampang itu berkata, seperti Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg katakan, cadangan jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya sekadar tawaran menjelang pilihan raya semata-mata.

“Kenapa kita mahu Timbalan Perdana Menteri sedangkan jika kita bekerjasama dan miliki jumlah kerusi yang besar, kita boleh memutuskan siapa boleh jadi Perdana Menteri,” katanya.

Darell berkata, jawatan itu tiada dalam perlembagaan tapi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tiba-tiba bercakap soal Timbalan Perdana Menteri setelah mereka rasa ada gelombang Blok Borneo.

Menurutnya, biarpun Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak sehaluan di Semenanjung Malaysia namun, di Sabah BN-GRS saling bekerjasama demi menentang Warisan.

“BN-GRS merupakan musuh ketat dalam politik tapi bekerjasama untuk menang kerusi, hanya di Sabah mereka fokus lawan kita, Warisan daripada menang sebarang kerusi.

“Bagaimana mereka boleh bersatu di Sabah tapi tidak di Semenanjung, ini jelas menunjukkan ada sesuatu yang berlaku,” katanya.

Berita asal: Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top