KOTA KINABALU: Pengerusi Parti Liberal Demokratik (LDP) Bahagian Likas Glenna Wong menyeru kepimpinan parti berkenaan untuk berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membenarkan LDP bertanding di kerusi Pantai Barat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Glenna berharap, Presiden LDP Datuk Chin Su Phin akan berbincang dengan kepimpinan GRS untuk perkara ini.
Beliau berkata demikian pada Persidangan dan Pemilihan LDP Bahagian Likas, Api-Api dan Luyang di sini, kelmarin.
Kesemua Bahagian berkenaan turut meluluskan usul untuk mencalonkan semula Chin sebagai Presiden LDP, Datuk Yong Wui Chung(Timbalan Presiden), Naib Presiden masing-masing Sim Fui dan Simon Chin dan Glenna sebagai Ketua Pergerakan Wanita LDP Pusat pada pemilihan parti yang dijadualkan diadakan 17hb November.
Glenna dalam ucapannya, semua ahli LDP sentiasa turun padang mendengar masalah serta aduan rakyat.
“LDP dan GRS perlu sentiasa turun padang untuk mengetahui masalah rakyat, hanya dengan cara ini kita boleh mendapat keyakinan dan undi serta sokongan padu rakyat.
“Ahli LDP tidak pernah berputus asa walaupun kalah pada pilihan raya sebelum ini. Kesemua mereka sentiasa bekerja keras dalam komuniti masing-masing.
“Usaha mereka bukan sahaja untuk mendapatkan keyakinan daripada pengundi tetapi juga meningkatkan keupayaan parti untuk menang pada PRN depan,” katanya.
Beliau berkata, kerusi seperti Likas, Api-Api dan Luyang adalah kubu kuat LDP dan parti itu sudah bersedia untuk menang pada PRN depan.
Sementara itu, Pengerusi LDP Bahagian Luyang, Simon Chin berkata, LDP sentiasa prihatin untuk berkhidmat kepada masyarakat. Ia bukan usaha sementara sahaja, tetapi komited untuk meningkatkan kebajikan komuniti.
Untuk beberapa dekad katanya, ahli LDP aktif bersama komuniti setempat untuk menyelesaikan masalah dihadapi mereka seperti kemudahan asas, pendidikan dan kebajikan, seterusnya bagi memastikan isu yang dihadapi rakyat didengar dan diselesaikan.
Dalam pada itu, Pengerusi LDP Bahagian Api-Api, Sim Fui berkata, rakyat Sabah harus memberikan sokongan penuh kepada GRS untuk meningkatkan wakil rakyat Sabah di peringkat Parlimen, agar Sabah mempunyai kuasa yang lebih besar untuk berbincang perkara-perkara bermanfaat kepada negeri ini.
Katanya, keupayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memenangi 23 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen ketika Pilihan Raya Umum lalu dan 79 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kerusi keseluruhannya pada PRN lepas telah memberikan GPS kedudukan yang kukuh di Sarawak dan Malaysia.
“Kita harus mencontohi rakyat Sarawak dengan memberikan sokongan penuh GRS, sekali gus mengukuhkan gabungan ini menerusi lebih banyak kerusi DUN dan Parlimen.
“Dengan itu, Sabah akan mempunyai autonomi yang lebih besar untuk mempercepatkan pembangunan dan merealisasikan haja tuju Sabah Maju Jaya,” katanya. – Utusan Borneo