PASIR SALAK: Kerajaan mengenal pasti kawasan di Sabah dan Sarawak untuk dibangunkan sebagai sawah padi bagi meningkatkan penghasilan beras putih tempatan (BPT), sekali gus mengurangkan kebergantungan beras import.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata perancangan itu mencakupi kawasan seluas 20,234 hektar di Sabah yang berpotensi dibangunkan sebagai sawah padi berskala besar, namun memerlukan peruntukan besar bagi menaik taraf sistem pengairan di lokasi terbabit terlebih dahulu.
Katanya, hasil perbincangan bersama Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan bercadang menjalinkan kerjasama bersama syarikat swasta bertujuan membiayai projek pertanian itu.
“Beliau (Anwar) kata memang kita tak ada wang sekarang, tapi kita bincang bagaimana hendak bersama dengan (syarikat) swasta digabungkan tenaga dan kita dapat jalankan (pembukaan sawah padi berskala besar di Sabah dan Sarawak).
“Misalnya, Sabah kita sudah kenal pasti keluasan tanah sawah lebih 50,000 ekar (20,234 hektar) yang kita nampak ada masalah pengairan.
“(Kos) pengairan ni sudah dihantar kepada kita, dibincang jumlahnya bilion ringgit juga. Tapi demi ‘food sekuriti’, saya rasa kerajaan kena bertindak,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Ladang Kekal Pengeluaran Benih Padi FELCRA, Seberang Perak, di sini pada Jumaat.
Mohamad berkata, kementerian menyasarkan penghasilan padi bagi Sabah mampu menampung sehingga 40 peratus kegunaan tempatan dengan pengeluaran hasil pertama dijangka tiga atau empat tahun akan datang.
Beliau turut berbincang dengan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, bagi memastikan sasaran tercapai.
Selain itu, Mohamad tidak menyebut secara terperinci keluasan sawah yang akan dibangunkan di Sarawak, namun jelasnya ia pasti lebih luas berbanding Sabah.
“Sarawak ini pula pertaniannya memang agresif dan mereka ada tempat yang penghasilan padinya mencapai tujuh tan,” katanya.
Beliau menegaskan, pembukaan sawah di dua negeri berkenaan adalah sangat penting sebagai persiapan sekiranya berlaku fenomena yang menjejaskan negeri pengeluar beras di Semenanjung Malaysia.