KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) Labuan mengulangi gesaan untuk pembinaan jambatan yang menghubungkan pulau itu dan Sabah.
The Star dalam laporannya semalam memetik Pengerusi KCCI Labuan Paul Ipoh Leokin sebagai berkata sesetengah pihak gagal melihat kepentingan jambatan itu sehingga ada yang terdorong menolak sama sekali projek pembinaannya.
Beliau berkata, ada pihak mengambil gambar jalan yang lengang di bandar Labuan, kemudian mendapat kenyataan daripada beberapa orang untuk menggambarkan bahawa terdapat pergerakan keluar besar-besaran penduduk dari pulau itu semasa sambutan Aidilfitri.
“Ia kononnya untuk membuktikan bahawa cadangan pembinaan jambatan Labuan-Menumbok tidak diperlukan,” katanya, sebagai reaksi kepada satu laporan harian tempatan Sabah berkaitan isu itu baru-baru ini.
Leokin berkata kejadian itu adalah bermusim, sambil menambah bahawa terdapat keperluan untuk melihat dari perspektif yang lebih luas mengapa jambatan itu akan memberi manfaat kepada Labuan dari segi ekonomi dan sebagainya.
“Apa yang dilaporkan bukanlah menggambarkan keadaan sebenar di Labuan semasa cuti raya baru-baru ini.
“Pergi ke kawasan pinggir bandar dan anda akan melihat perhimpunan besar keluarga, termasuk saudara-mara dan rakan-rakan yang pulang atau melawat pulau ini dari Sabah untuk meraikan hari raya,” katanya.
Leokin menambah bahawa terdapat aliran keluar masuk orang ramai antara Labuan dan Sabah setiap hari, yang hanya dihubungkan terus dengan feri, atau tiga hingga empat penerbangan setiap hari melalui Kota Kinabalu.
Kata beliau, jambatan yang menghubungkan pulau itu dan Sabah akan memberi nilai tambah kerana ia membolehkan orang ramai, termasuk pelancong melakukan perjalanan pada bila-bila masa mengikut keselesaan mereka.
Tambah beliau, orang ramai sering terkandas di pulau itu apabila perkhidmatan feri tidak dapat memenuhi permintaan tinggi penumpang.
“Jambatan itu juga penting dalam kes kecemasan, yang memerlukan pesakit dipindahkan ke Kota Kinabalu untuk rawatan perubatan segera, kerana Labuan tidak mempunyai pusat perubatan pakar.
“Lebih-lebih lagi, perkhidmatan udara sekarang antara dua lokasi beroperasi hanya menggunakan pesawat ATR (kapal terbang pengangkutan wilayah), yang tidak boleh memuatkan pengusung,” katanya.