Bina jambatan dari Labuan ke tanah besar Sabah perlu kajian teliti

jambatan-labuan.jpg

Ilustrasi yang menggambarkan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah.

Kongsi Bersama

LABUAN: Pendekatan dan kaedah berbeza perlu diguna pakai dalam merealisasikan cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah yang dinantikan sejak dulu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata terdapat keperluan untuk kajian menyeluruh bagi menilai daya maju jambatan berkenaan dan potensi kesannya terhadap ekonomi Labuan.

“Saya mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman dan kita komited untuk meneroka kaedah alternatif bagi memastikan jambatan ini direalisasikan,” katanya pada sesi bertemu rakyat di sini, pada Ahad.

Fadillah berkata, pembangunan di seluruh pulau juga penting dan mencadangkan sebuah bandar baharu dibuka di Labuan bertujuan bukan saja meningkatkan populasi, tetapi juga merangsang aktiviti ekonomi dan menarik pelaburan.

“Dengan pertambahan penduduk dan aktiviti ekonomi, kita menjangka minat tinggi daripada pelabur yang ingin menyumbang kepada pembinaan jambatan itu,” katanya.

Fadillah berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa turut mengadakan perbincangan dengan beliau berhubung aspirasi penduduk Labuan yang mahukan cadangan jambatan itu menjadi kenyataan.

“Ketika perbincangan kami, saya sampaikan kepadanya perkara ini yang dibincangkan dalam Kabinet dan saya sedar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan jambatan ini,” katanya.

Fadillah berkata, usaha sebelum ini termasuk pengeluaran Permintaan untuk Cadangan (RFP), tiada satu pun yang mematuhi sepenuhnya keperluan kementerian berkaitan menyebabkan perkara itu tidak diluluskan Kabinet.

Sementara itu, beliau berkata, Labuan mendapat perhatian khusus daripada Kerajaan Persekutuan berikutan beberapa isu yang belum diselesaikan menjejaskan penduduk di pulau ini, seperti dibincangkan pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini susulan kunjungan Anwar ke Labuan pada Disember tahun lalu.

“Tanggungjawab saya untuk mencari penyelesaian kepada masalah berkaitan bekalan elektrik dan air … lawatan kerja hari ini bertujuan mendapat maklumat daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Bahagian Bekalan Air Labuan,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata, Labuan turut dicadang menjadi kawasan angkat kementeriannya, menunjukkan kerajaan komited menyelesaikan isu berkaitan. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top