Bilionair mahu wariskan harta berbilion RM kepada tukang kebun

Nicolas-Puech.jpg

Nicolas Puech

Kongsi Bersama

ZURICH: Nicolas Puech, salah seorang pewaris Hermès, yang bujang dan tidak mempunyai anak, berhasrat menyerahkan separuh hartanya kepada bekas tukang kebunnya, lapor Business Insider.

Puech yang mempunyai pertalian darah dengan Thierry Hermes yang mengasaskan rumah fesyen mewah Perancis itu pada 1837 juga merancang untuk mengambil tukang kebunnya itu sebagai anak angkat.

Dilaporkan, Puech memiliki 5.7 peratus daripada modal Hermes. Walaupun jumlah kelihatan kecil, ia tetap menjadikannya pemegang saham individu yang terbesar dalam syarikat itu.

Forbes menganggarkan nilai bersih kekayaan Puech adalah AS$11.7 bilion (kira-kira RM54.86 bilion) sekali gus menjadikannya orang ke-161 terkaya di dunia.

Pembantunya yang berusia 51 tahun berasal dari Maghribi itu sudah bekerja untuk Puech selama beberapa dekad dengan menjadi tukang kebun, tukang dan pengurus kediamannya.

Lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Pasangan itu pada dasarnya menjadi satu-satunya ‘keluarga’ Puech, dan beliau merujuk mereka sebagai anak-anaknya dan anak angkat.

Puech memberi pasangan itu dengan lebih daripada AS$1.6 juta (kira-kira RM7.5 juta) pada 2015 untuk membeli sebuah vila di Marrakech, Maghribi.

Pasangan itu juga membeli pelbagai ladang dan kira-kira 50 tanah pertanian di Sepanyol dan Portugal serta sebuah vila di Montreux, Switzerland yang bernilai lebih AS$4.5 juta (kita-kira RM21 juta).

Puech memberitahu seorang peguam untuk memulakan prosiding anak angkat dan sedang menunggu pihak berkuasa membuat keputusan.

Dilaporkan juga bahawa jika ini berjaya, lelaki itu boleh mewarisi sekurang-kurangnya separuh daripada kekayaan Puech.

Hermès dilaporkan mencatat keuntungan bersih AS$3.7 bilion (kira-kira RM17.3 bilion) pada 2022. – AGENSI

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top