Bilik Gerakan BN Parlimen Arau Ditutup, Semua Bendera Diturunkan

ShahidanKassim.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Semua bilik gerakan Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Arau ditutup malam tadi, sekali gus menguatkan spekulasi penyandang kerusi tersebut Datuk Seri Shahidan Kassim digugurkan dari senarai calon.

Selain itu semua bendera BN juga turut diturunkan.

Shahidan sendiri mendedahkan mengenai perkara itu menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

“Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan,” katanya dalam catatan itu.

Menurut Shahidan perkara itu pertama kali terjadi dalam sejarah.

Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau itu sebelum ini memang disebut-sebut sebagai antara nama yang berkemungkinan digugurkan kerana wujud anggapan dia orang Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bukannya orang presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu dalam laporan yang disiarkan oleh AWANI, Shahidan berkata,tidak pasti dengan keputusan menutup semua bilik gerakan BN Bahagian Arau itu, namun berkata ia mungkin kerana pimpinan bahagian tidak berpuas hati dengan pemilihan calon luar.

Katanya, beliau malas hendak mengambil tahu hal itu.

“Cuma saya hendak beritahu saya sedih, kerana dalam sejarah dan sepanjang perjuangan saya, perkara atau situasi ini tidak pernah berlaku.

“Penutupan bilik gerakan dan penurunan bendera BN juga mungkin disebabkan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO, Barisan Nasional di Arau tidak berpuas hati dengan proses pemilihan calon”, katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambahnya, sewajarnya calon-calon yang akan dipilih mewakili BN dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) adalah daripada cadangan yang dikemukakan daripada peringkat bahagian.

“Calon tidak boleh dipilih daripada nama yang berada luar daripada senarai lima nama yang dihantar oleh bahagian.

“Berdasarkan Fasal 15.13.1 Perlembagaan UMNO, tanggungan, kuasa, dan kewajipan Jawatankuasa Bahagian adalah untuk mencadangkan calon-calon bagi pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, wakil-wakil parti bagi menganggotai Majlis Bandaraya, Perbandaran, Bandaran Tempatan dan Daerah melalui mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian,

“Ia bukan terletak di bawah Badan Perhubungan UMNO Negeri, bukan di bawah Top 5,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Shahidan menyatakan bahawa sudah mendengar ura-ura mengenai ada calon lain yang berada di luar nama yang disenaraikan untuk diletakkan di Parlimen Arau.

“Kalau tidak mahu pilih saya, tidak apa, pilih yang lagi empat yang disenaraikan itu, jangan letak nama di luar itu.

“Kalau letak juga saya nak beritahu dan maklumkan, calon Barisan Nasional itu tidak boleh menang, dengar saya sebut sekali lagi, dia tidak boleh menang,” tegas Shahidan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top