Bilik Darjah di SK Sabandil Rosak Teruk Akibat Tanah Runtuh

bilik-darjah-tanah-runtuh.jpg

Keadaan sebuah bilik darjah di SK Sabandil yang rosak teruk akibat tanah runtuh.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sebuah bilik darjah di sebuah sekolah rendah di Papar mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh yang berlaku selepas hujan lebat pada awal Ahad (26 Jun).

Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan pada 9.36 pagi daripada seorang guru Sekolah Kebangsaan Sabandil, yang mendapati bilik darjah di sekolah rosak kesan bencana alam berikutan pergerakan tanah di bawahnya.

Bagaimanapun, tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu, kata jurucakap Bomba dan Penyelamat.

“Pasukan dari balai bomba Papar pergi ke tempat kejadian berikutan laporan bahawa sebahagian dinding bilik darjah telah rosak.

“Mereka terus mengalihkan meja dan kerusi di dalam kelas ke tempat lain yang selamat, dan mengepung kawasan bilik darjah.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan tiada risiko keselamatan lain, dan operasi tamat pada 10.15 pagi,” tambah jurucakap itu.

Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin yang mengadakan tinjauan ke sekolah itu berkata,bangunan tersebut perlu dipindahkan ke tapak baharu bagi memastikan keselamatan murid dan guru terjamin ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.

“Berdasarkan laporan terkini kawasan sekitar sekolah ini tidak selamat dan perlu dipindahkan ke tapak baharu dan saya minta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) buat kajian segera mengenai keadaan keseluruhan struktur tanah dan bangunan sama ada ia selamat diduduki atau sebaliknya,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top