SANDAKAN: Bilangan mangsa banjir di Sabah menunjukkan trend peningkatan semula ekoran hujan lebat berterusan pada malam Isnin.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, berkata seramai 1,376 mangsa banjir kini ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Sabah.
Menurutnya, daerah terjejas banjir turut bertambah daripada tiga kepada empat.
“Daerah terlibat iaitu Paitan menempatkan seramai 86 mangsa banjir, Pitas (1,152), Lahad Datu (43) dan yang terbaharu daerah Telupid (95).
“Jumlah mangsa banjir di Paitan dan Telupid juga dijangka akan meningkat.
“Manakala, bagi daerah Pitas dan Lahad Datu kekal seperti petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin malam.
Terdahulu, pada petang Isnin, hanya tiga buah daerah terjejas di Sabah dan lima PPS masih aktif.
Bagaimanapun, hujan lebat berterusan di daerah terlibat menyebabkan air melimpah semula sebelum pemindahan dijalankan.
Sumber: AWANI