Bila mahu bentang pemberian khas Sabah RM300 juta? – Warisan

munirah.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Pemimpin dari Parti Warisan (Warisan) membangkitkan persoalan bila kerajaan akan membentang penyata pemberian khas interim Sabah sebanyak RM300 juta.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, kadar pemberian khas itu dinaikkan yang mana sebelum ini berjumlah RM125.6 juta semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Saya ingin menyentuh mengenai pemberian khas interim untuk Sabah yang ditingkatkan daripada RM125.6 juta kepada RM300 juta. Bilakah ia akan dibentang di Parlimen seperti yang berlaku pada 2022?

“Selain itu, adakah di dalam warta baharu nanti perkataan interim ini juga akan dinyatakan?” soalnya semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat dasar dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin.

Pada 7 Mac lalu, Perdana Menteri juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amaun pemberian khas kepada kerajaan Sabah bernilai RM125.6 juta yang dinaikkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini masih berkuat kuasa hingga kini.

Katanya, pemberian khas itu akan terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun sehingga terdapat persetujuan formula baharu dicapai antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah.

Bagaimanapun, pada 20 Januari 2023, Anwar mengumumkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk merundingkan formula pemberian khas lebih baik kepada Sabah dan Sarawak termasuk meningkatkan kadar pemberian khas daripada yang telah dipersetujui sebelum ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta.

Bagaimanapun, jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula tetap diputuskan.

Pada 2022, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah mencapai persetujuan untuk menyalurkan pemberian khas tempoh 5 tahun iaitu RM125.6 juta (2022); RM129.7 juta (2023); RM133.8 juta (2024); RM138.1 juta (2025) dan RM142.6 juta (2026).

Dalam pada itu, Isnaraissah juga bertanya bila kerajaan akan menyelesaikan isu-isu perundangan melibatkan royalti minyak dan bayaran tunai petroleum, mineral dan medan minyak, Akta Laut Wilayah (Akta 750) dan hak negeri ke atas pelantar benua.

Katanya, adalah mengecewakan apabila terma-terma termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak dipatuhi dan dilaksana, walaupun kebersamaan Sabah membentuk Persekutuan Malaysia didorong atas keyakinan berasaskan persetujuan berdokumen dengan terma kukuh dan sahih.

“Sabah adalah wilayah luas dan memerlukan dana yang besar untuk pembangunan. Adalah hak Sabah untuk mendapat sebahagian dari hasil yang diperoleh dari tanah Sabah sendiri,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top