KOTA KINABALU: Festival Pemotoran Berkuasa Besar Antarabangsa Pulau Borneo (BIIBBF) dijangka boleh diperluaskan untuk dianjurkan di daerah lain pada masa depan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, bagaimanapun hasrat berkenaan hanya mampu dicapai sekiranya lebuh raya Pan Borneo yang sedang dilaksanakan ketika ini berjaya disiapkan.
Katanya, festival ini merupakan salah satu faktor yang boleh menarik minat para peminat Big Bikers, bukan sahaja daripada Malaysia tetapi juga luar negara.
“Sudah pasti ia akan menjadi satu tarikan untuk mereka datang berkunjung ke Sabah.
“Apabila mereka berkunjung ke Sabah, sudah pasti mereka akan melihat keindahan tempat-tempat yang menarik di Sabah yang memang terkenal dengan pantai-pantainya, gunung-ganangnya, hutan-hutannya, hidupan liar dan sebagainya,” katanya ketika pada Jamuan Malam Gala BIIBBF 2024, di sini pada Sabtu.
Nizam berkata, penganjuran itu sekali gus mampu memberikan banyak limpahan ekonomi khususnya kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan banyak lagi.
“Kerajaan negeri sememangnya berbesar hati agar program seumpamanya mampu dijadikan acara tahunan di Sabah kerana pelbagai manfaat dijana menerusi penganjuran itu.
“Pihak penganjur juga berhasrat membawa program ini ke Tawau, tetapi cabaran kita pada ketika ini adalah keadaan jalan raya yang perlu dinaik taraf,” kata Nizam.