BICAM Perkasa Kedudukan Sabah, Sarawak Sebagai Destinasi Perkhidmatan Guaman

hajiji2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kewujudan Pusat Timbang Tara dan Pengantaraan Antarabangsa Borneo (BICAM) di sini akan mampu mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan profesional selain boleh memperkenalkan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) di wilayah Borneo.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, beliau mengalu-alukan pelancaran BICAM kerana badan berkenaan melalui program latihan, pendidikan dan pembangunan profesional, profesional perundangan tempatan akan dilengkapi dengan alat yang diperlukan untuk cemerlang dalam bidang ADR, seterusnya memperkukuh negeri-negeri Borneo sebagai destinasi utama perkhidmatan perundangan di rantau ini.

“Saya berbesar hati mengetahui bahawa BICAM mempunyai objektif untuk meletakkan dirinya sebagai hab terkemuka untuk timbang tara antarabangsa dan pengantaraan, bukan sahaja di rantau Borneo tetapi juga wilayah Nusantara serta BIMP-EAGA yang lebih luas.

“Penubuhan BICAM menandakan komitmen kita untuk memupuk persekitaran kondusif bagi menyelesaikan pertikaian komersial secara cekap dan kos efektif,” katanya pada majlis pelancaran BICAM di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Hajiji memberi jaminan bahawa kerajaan negeri melalui kementerian, jabatan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan terus menyokong usaha BICAM.

“Dengan melibatkan penimbang tara dan pengantara tempatan serta antarabangsa, kita boleh membina panel pakar yang pelbagai, berkemahiran, meningkatkan lagi kredibiliti, keberkesanan pusat ini,” katanya.

Hajiji berkata, BICAM adalah bukti komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan modal insan, komponen utama pelan hala tuju pembangunan negeri, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Dengan mewujudkan pusat kecemerlangan, kita akan memupuk modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi di rantau ini,” katanya.

Hajiji juga menggesa BICAM untuk mencontohi pencapaian institusi terkenal seperti Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC) dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Hong Kong (HKIAC), yang mana pencapaiannya berjaya menarik pelaburan langsung asing besar.

Katanya, dengan kewujudan BICAM, Sabah menjangkakan kesan limpahan ekonomi, pembangunan pusat ini akan merangsang pertumbuhan dalam pelbagai industri.

“Memandangkan kita meletakkan Sabah sebagai hab perkhidmatan untuk ADR dan perbankan, kita membayangkan ekosistem berkembang maju dalam yang menyokong peguam, penimbang tara dan pengantara, mewujudkan peluang pekerjaan serta memacu kemajuan ekonomi untuk komuniti kita.

“Pelbagai inisiatif pembinaan kapasiti dalam perancangan juga berfungsi sebagai rangsangan untuk memperkasakan komuniti kita ke arah kemampanan diri dan akses yang lebih besar kepada peluang global,” katanya.

Beliau turut memuji usaha Pengerusi BICAM Tan Sri David Wong, yang telah memainkan peranan penting dalam memacu dan menyokong penubuhan pusat itu. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top