KOTA KINABALU: Kolej Universiti Saito (Saito UC) menawarkan biasiswa khas kepada pelajar kelahiran Sabah, sempena pembukaan Fakulti Logistik di negeri itu.
Menurut Hmetro, Naib Canselor Saito UC, Profesor Dr Vinitha Guptan berkata, biasiswa penuh, separa dan istimewa di bawah Saito Prihatin 2.0, dianggap sebagai hadiah buat pelajar di Sabah.
Katanya, ia ditawar dengan kerjasama pemain industri terutamanya, Tiong Nam Logistics Holdings Bhd dan Safeguards Corporation Sdn Bhd.
“Saito Prihatin 2.0 adalah inspirasi antara universiti dan pemain industri bagi merapatkan jurang sistem pendidikan.
“Ini adalah untuk kebaikan graduan, membolehkan mereka mendapat pengalaman sebelum memulakan karier, sekali gus menjadikan mereka seorang pekerja berpengalaman ketika memasuki gerbang pekerjaan.
“Saito UC bekerja keras dalam usaha melahirkan ahli logistik berbakat untuk menghadapi era IR 4.0,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Saito UC yang memulakan operasi pada 1988 mempunyai lima Fakulti selain Logistik – Reka bentuk, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Hospitaliti dan Kulinari serta Akademi Keselamatan dan Bisnes.