KOTA KINABALU: Bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain mengharapkan agar mahasiswa membawa obor perubahan dengan akal dan budi, bukan melalui kekacauan di jalanan.
Ini kerana katanya, hasrat dua kumpulan untuk berhimpun dalam masa yang terdekat dengan membawa ideologi berbeza perlu mengambil langkah bijaksana seperti mengadakan dialog.
“Di saat dua kumpulan berhasrat berhimpun pada waktu dan lokasi yang sama, mesejnya amat jelas tetapi berbeza. Satu kumpulan berhimpun menentang rasuah yang memiskinkan negeri ini. Satu kumpulan berhimpun mempertahankan individu terkait dengan rasuah yang sama.
“Dalam keadaan ini, saya berpendapat lebih baik kumpulan yang mempertahankan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengambil langkah lebih bijaksana dengan membawa mahasiswa untuk berdialog,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tegasnya, para mahasiswa sudah semestinya tidak akan membuat keputusan untuk turun di jalanan sekiranya mereka mempunyai ruang untuk berdiskusi.
“Mahasiswa adalah simbol kebijaksanaan dan suara perubahan. Mereka bukan golongan yang gemar mencetuskan kekacauan di jalanan. Mereka bukan orang kasar atau gasar yang tidak tahu menilai atau berfikir.
“Sebaliknya, kekuatan mereka terletak pada intelektualisme, rasionaliti, dan idealisme mereka untuk mencipta perubahan.
“Namun, jika ruang untuk berdiskusi tidak dibuka dengan cukup luas, pasti mereka akan turun ke jalanan. Bukan kerana mereka mahu, tetapi kerana jalan perjuangan mereka masih panjang untuk memastikan masa depan negeri ini bebas daripada bayangan rasuah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua pihak untuk menjadikan suara mahasiswa ini sebagai inspirasi, dialog dan kebijaksanaan.
“Marilah jadikan suara mahasiswa inspirasi, bukan provokasi; dialog, bukan pertembungan; kebijaksanaan, bukan ketegangan.
“Maka, biarlah mahasiswa membawa obor perubahan dengan akal dan budi mereka, bukan melalui kekacauan di jalanan,” katanya lagi.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa pihak polis meneliti dan mengambil langkah proaktif terhadap dua perhimpunan aman yang sedang dirancang akan berlangsung pada masa terdekat.
Ini kerana katanya, perhimpunan tersebut berpotensi untuk mencetuskan ketegangan di antara dua kumpulan yang berhimpun dan membuka ruang kepada provokasi melampau. – UMNO Online