Kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin, penentangan sekumpulan pemimpin UMNO Sabah terhadap pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai jentera BN dalam PRN Sabah adalah satu tamparan hebat kepada presiden UMNO dan pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kadir menulis demikian dalam hantaran di Facebook, yang kemudiannya dipetik oleh Free Malaysia Today (FMT).
Macam biasa, bekas penasihat komunikasi dan media mantan PM ke-7, yang gagal menyelamatkan imej bosnya daripada terus ke laut itu, kelihatan cukup ‘seronok’ bila dapat peluang mengata, menyindir atau menghina pemimpin-pemimpin UMNO/BN (dan sekarang ini termasuk pemimpin bekas partinya, Bersatu).
Dia juga akan lebih seronok jika dapat menyebut ‘kaitan’ pemimpin-pemimpin tertentu UMNO dengan mahkamah. Gayanya seolah-olah dia dan mereka yang bersama dengannya, termasuk kumpulan serpihan Bersatu yang kini membentuk Pejuang, lebih putih daripada kain putih.
Walaupun dia sekarang orang politik – yang baru sahaja mengumumkan keluar dari Bersatu pada awal bulan ini – naluri kewartawan Kadir nampaknya masih kuat. Sebab itulah dia tidak henti-henti memberi pandangan dan mengulas isu-isu semasa.
Tetapi kerana dia orang politik, ulasannya tidak lagi macam sepatutnya. Macam zaman ‘Other Tots’nya. Dia terus berat sebelah. Sesiapa sahaja yang tak sehaluan dengan Tun Mahathir semuanya dibelasah. Sesungguhnya dia bukan lagi contoh wartawan yang baik.
Dan dia juga bukan ahli politik yang hebat. Riuh sahaja lebih. Dia tidak mampu menahan Bersatu daripada berpecah. Dia tidak dapat berbuat apa-apa pun bila pasukannya disingkir daripada Bersatu. Dia hanya ada suara, tetapi tiada upaya.
Jadi kepada penyokong PN umumnya, UMNO, PAS dan BERSATU khususnya, janganlah peduli sangat pada tulisan orang surat khabar yang pernah hebat ini. Dalam hidup ini kadang-kadang kita perlu sibuk bercerita tentang rumah tangga orang bagi mengalih tumpuan orang terhadap rumah tangga kita sendiri yang lintang pukang; atau yang baru runtuh!
Jadi, biarkanlah dia dengan labu-labunya…
Oleh: Tulus Budiman