Beyond2020 bekalkan air kepada 10,000 orang penduduk Sabah, Sarawak

beyond2020-air.jpg

Kredit foto: emirates247.com

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Beyond2020, inisiatif kemanusiaan yang diterajui Emiriah Arab Bersatu (UAE), telah memasang penapis air untuk kegunaan masyarakat di 25 kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak bagi membekalkan air minuman bersih kepada 10,000 orang.

Program Beyond2020 dilancarkan oleh Zayed Sustainability Prize pada 2019 dengan kerjasama beberapa organisasi terkemuka, dengan matlamat untuk meluaskan usaha kemanusiaan Pengasas Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan menerusi inisiatif penyediaan teknologi dan penyelesaian lestari kepada masyarakat yang memerlukan di seluruh dunia.

Inisiatif yang dilaksanakan di Malaysia merupakan yang kali ke-17 bagi organisasi ini. Zayed Sustainability Prize akan terus menyediakan kemudahan untuk mengubah nasib insan-insan yang memerlukan di seluruh dunia dengan penggunaan teknologi sambil menggalakkan pembangunan yang terangkum dan lestari.

Mengulas mengenai pemasangan penapis air tersebut di Malaysia, Dr. Sultan Ahmed Al Jaber, Menteri Industri dan Teknologi Maju Emiriah Arab Bersatu, Ketua Pengarah Hadiah Kelestarian Zayed, dan bakal Presiden COP28 berkata, projek Beyond2020 terbaharu di Malaysia mencerminkan komitmen UAE terhadap kemanusiaan dan pembangunan lestari antarabangsa.

Kesan yang semakin meningkat terhadap iklim boleh menjejaskan keterjaminan bekalan air dan menjejaskan kehidupan dan punca pendapatan di banyak rantau di seluruh dunia, khususnya di Kawasan Selatan Global.

Dalam persiapan UAE mengalu-alukan kehadiran tetamu sedunia di COP28, projek ini memperlihatkan hubungan kritikal antara air dan perubahan iklim dan menekankan potensi bagi inovasi air untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dan menggalakkan kemakmuran ekonomi.

“Pelaksanaan projek ini memberikan sumbangan besar kepada usaha berterusan Malaysia untuk menambah bekalan air yang bersih dan boleh dipercayai. Kami menghargai kerjasama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia dalam pelaksanaan inisiatif ini, yang mana turut membuktikan hubungan erat dan kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.

Pemasangan penapis air mesra alam ini telah memberikan manfaat kepada masyarakat negeri Sabah dan Sarawak, Malaysia, khususnya di kawasan sepanjang Sungai Rajang.

Lazimnya, penduduk di kawasan ini bergantung kepada bekalan air sungai untuk mendapat air minuman demi kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, tanpa teknologi dan sistem yang sesuai untuk merawat air, penduduk kampung kerap mengalami masalah kesihatan. Kanak-kanak pula sering mengalami cirit-birit dan disentri, yang menunjukkan kemungkinan wujud parasit dalam air minuman.

Usaha membekalkan air bersih penting untuk memastikan masyarakat terutamanya kanak-kanak, wanita dan warga emas, boleh mendapatkan bekalan air minuman yang bersih.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mubadala Energy, Mansoor Mohamed Al Hamed berkata, pelaburan dalam insan dan komuniti yang mendapat perkhidmatan kami sememangnya menjadi teras utama entiti ini.

Projek terbaharu Beyond2020 di Malaysia membuktikan dedikasi Mubadala Energy terhadap kemanusiaan dan usaha memanfaatkan inovasi untuk meringankan beban yang dihadapi oleh masyarakat yang memerlukan.

Memandangkan saiz penduduk adalah berbeza-beza bagi kawasan-kawasan lain di sepanjang sungai tersebut, Wateroam membekalkan dua penapis air berlainan yang memenuhi keperluan khusus setiap kumpulan masyarakat – iaitu Commfilter TM Plus dan ROAMfilter TM Ultra.

Kedua-dua penapis boleh membasmi lebih 99% bakteria dan virus, tetapi Commfilter TM Plus membekalkan air minuman selamat bagi isi rumah dan masyarakat, manakala ROAMfilter TM Ultra direka untuk memenuhi keperluan penduduk lebih besar dengan kadar aliran air yang tinggi.

Penapis-penapis tersebut menggunakan aliran graviti semula jadi atau pam dengan kuasa watt rendah yang tidak memerlukan atau menggunakan hanya sedikit kuasa elektrik untuk dikendalikan.

Penapis ini mudah dipasang dan disenggarakan, menjadikannya pilihan lestari untuk diurus dan digunakan oleh penduduk setempat dalam jangka panjang. – MalaysiaGazette

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top