BEAUFORT: Kerjasama yang dimeterai Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang dikenali sebagai Bersatu-Solidariti (BEST) bukanlah satu ancaman kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti yang digembar-gembur pihak tertentu, sebaliknya berupaya mengukuhkan lagi gabungan itu.
Sambil menafikan desas-desus itu, Naib Presiden PBS, Datuk Ruslan Muharam menjelaskan, BEST merupakan kerjasama politik diantara PBS dan STAR yang bertujuan mengukuhkan kefahaman antara kedua-dua parti terutama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Mengulas lanjut, Ruslan berkata, ia adalah bagi mengelak daripada berlaku pertembungan sesama sendiri calon dari PBS dan STAR sebagaimana yang pernah berlaku pada PRN sebelum ini.
“Sebagaimana semua maklum, kerjasama PBS dan STAR ini bertujuan supaya tidak berlaku (isu sama) pada PRN-16 lalu apabila PBS bertanding (di satu kawasan), STAR pun turut bertanding di situ.
“Itu yang kita (PBS/STAR) cuba murnikan (melalui kerjasama ini) supaya perkara sama tidak lagi berlaku pada PRN-17 akan datang, sekaligus mengukuhkan kedudukan GRS khususnya di kawasan bukan Islam.
“Justeru, dakwaan segelintir pihak ini jelas tidak masuk akal, sebaliknya kerjasama (BEST) ini sebenarnya dapat memantapkan lagi kekuatan GRS, seterusnya kekal menerajui Sabah selepas PRN ke-17 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Sambutan Riang Raya Aidilfitri Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Lumadan di Dewan Sri Dayang Lumadan pada malam Ahad yang turut dihadiri Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.
April lepas, PBS dan STAR telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama politik antara kedua-dua parti menjelang PRN-17 Sabah.
Susulan itu, timbul desas-desus kononnya kelebihan dimiliki PBS dan STAR yang dominan di kawasan bukan bumiputera Islam itu bakal memenangi lebih banyak kerusi pada PRN-17 berbanding parti bumiputera Islam lainnya dalam GRS.
Segelintir pihak mendakwa kemungkinan berlaku perpecahan undi yang besar di kawasan bumiputera Islam akibat pertembungan parti-parti melayu Islam antara GRS dan pembangkang hingga menyebabkan tiada parti yang menang dominan.
Sementara itu, Matbali (GRS) ketika ditemui turut menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘tidak masuk akal’ kerana jelas satu cubaan untuk merosakkan kestabilan GRS sebagai gabungan dominan politik Sabah.
Beliau berkata, sedangkan hakikat kerjasama BEST itu bertujuan mengelak pertembungan sesama sendiri yang hanya menyebabkan kerugian kepada kedua-dua parti khususnya GRS.
“Kerjasama BEST ini bukan satu ancaman, sebaliknya akan memperkukuhkan lagi kekuatan GRS, seterusnya kekal menerajui pentadbiran Sabah selepas PRN-17 di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” katanya. – Utusan Borneo