KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 terutama dalam suasana menyambut Hari Natal dan Tahun Baharu 2022.
Ketika memberikan peringatan itu dalam perutusan khasnya sempena sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu 2022 Yang DiPertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, kitalah yang menjadi benteng sebenar dalam mengekang penularan Covid-19.
“Sepertimana kita semua maklum, negeri Sabah telahpun beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal bulan November yang lepas.
“Hampir semua sektor telah dibenarkan untuk beroperasi bagi memulihkan ekonomi negeri dan negara susulan pencapaian dalam program imunisasi. Namun demikian, kita tidak boleh alpa, sebaliknya perlu sentiasa menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.
“Justeru, dalam menyambut Perayaan Hari Natal, Perayaan Tahun Baharu serta pembukaan aktiviti di semua sektor, sukalah saya mengingatkan seluruh rakyat jelata supaya sentiasa beringat untuk mengambil berat tentang aspek-aspek keselamatan, patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sama ada ketika keluar rumah, bercuti atau di mana sahaja kita berada.
“Malah, penetapan SOP sudah pasti telah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan kita bersama.
“Konsep rumah terbuka serta kunjung-mengunjung sudah menjadi amalan hidup dan tradisi rakyat Malaysia sejak dahulu, termasuklah ketika perayaan Hari Natal.
“Amalan ini mampu mengeratkan lagi tali silaturrahim dan perpaduan di kalangan masyarakat dan penduduk di negeri ini.
“Namun, pada ketika virus COVID-19 masih memberi ancaman, ditambah pula dengan kerisauan terhadap penularan varian-varian baharu, kita perlu akur dengan apa juga nasihat atau penetapan SOP oleh kerajaan ke atas aktiviti kunjung mengunjung,” ujarnya dalam perutusan itu.
Menjelang sambutan hari natal dan tahun baharu, Tun Juhar juga menyeru rakyat agar terus mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah, khususnya dalam keadaan ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Saya yakin kemeriahan dalam menyambut perayaan ini akan tetap dirasai meskipun dalam suasana penuh kesederhanaan.
“Tambahan pula, bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, perbelanjaan keluarga sudah tentulah ditumpukan kepada persiapan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak,” kata beliau.
Tun Juhar turut menyarankan agar rakyat terus menyuburkan keharmonian meski sambutan perayaan kini diadakan dengan pembudayaan norma baharu.
“Kebiasaan baharu ini sudah tentu akan sedikit sebanyak mempengaruhi interaksi sosial di kalangan ahli-ahli masyarakat.
“Namun, ia sekali-kali tidak mengubah masyarakat untuk menjadi tidak lagi harmoni.
“Kita sedia maklum bahawa masyarakat yang harmoni dimulai dengan sikap bertanggungjawab, prihatin, kesatuan dalam keluarga dan seterusnya masyarakat.
“Seperti juga sambutan perayaan-perayaan masyarakat yang lain di negara ini, perayaan hari natal memberi kesempatan dan peluang kepada kita untuk berbalas-balas ucap selamat di kalangan ahli keluarga, sahabat handai serta semua lapisan masyarakat.
“Melalui kecanggihan teknologi dan sistem penyampaian maklumat atas talian yang pantas, ucapan salam perayaan kita sudah pasti akan lebih cepat dan meluas.
“Semoga semua ini akan memperkukuhkan lagi hubungan kekeluargaan, persaudaraan, persahabatan dan seterusnya membentuk masyarakat yang sentiasa bersatu padu dan harmoni,” jelas beliau.
Tun Juhar juga merakamkan penghargaan serta ucapan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan atas komitmen, kecekapan dan usaha-usaha yang telah dilakukan dalam menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini.
“Mereka ini termasuklah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, ESSCOM, Kastam Diraja Malaysia, RELA, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi dan petugas di peringkat Daerah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri, petugas-petugas program imunisasi, Pusat Operasi Pengurusan Bencana dan semua pihak yang terlibat,” ucap beliau.